Rabu, 4 Julai 2018 | 8:30pm

Kerja pembinaan ECRL digantung

KUALA LUMPUR: Semua kerja membabitkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) digantung berkuat kuasa serta merta.

China Communications Construction Ltd (CCCC), kontraktor utama projek mega itu berkata ia sudah menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

"Adalah dikesali kerana penggantungan berlaku di tahap ini, memandangkan kerja-kerja utama telah berjalan dengan baik," kata firma berpangkalan di China itu.

Kenyataan itu berkata, ECRL adalah projek penting Malaysia yang akan memberikan manfaat kepada rakyat dan mewujudkan pembangunan ekonomi di sepanjang laluan.

Katanya, CCCC diberikan amanah untuk mengendalikan projek itu sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi membantu pembinaan infrastruktur di negara ini.

"Kontrak ini dimeterai oleh CCCC dan MRL melalui proses undang-undang. Kami berharap MRL menghormati kontrak yang ditandatangani," katanya.

Bagaimanapun, CCCC berkata ia menghormati dan mematuhi undang-undang negara ini dan tidak mempunyai pilihan lain selain mematuhi arahan penggantungan.

"Walaupun tempoh penggantungan itu tidak dinyatakan, kami mengambil maklum mengenai kos tambahan, kerugian dan ganti rugi yang timbul daripada penggantungan itu. Kami kecewa dan bimbang mengenai nasib 2,250 kakitangan tempatan, serta beratus subkontraktor, pembekal dan firma perundingan.

Syarikat itu juga berharap kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian menang-menang menerusi rundingan yang baik.

"Kami juga berharap penggantungan itu akan ditarik segera bagi manfaat semua pihak," katanya.

Sementara itu, jurucakap MRL berkata, arahan itu termasuk semua kerja berkaitan kejuruteraan, perolehan dan pembiayaan.

"Ya, projek itu digantung serta-merta sehingga diberitahu kelak. Namun, penggantungan itu tidak bermakna projek itu dihentikan.

"Hanya kerja-kerja pembinaan digantung bagi membolehkan rundingan semula mengenai jajaran, bahan binaan, stesen dan sebagainya dilakukan termasuk perbincangan semula mengenai terma dan syarat dengan pihak China," katanya ketika dihubungi NSTP.

Arahan itu susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kos sebenar projek ECRL sepanjang 688.3 kilometer (km) membabitkan perbelanjaan RM81 bilion dan ia perlu dikurangkan secara signifikan supaya berdaya maju dari segi kewangan.

268 dibaca
Berita Harian X