Khamis, 28 Jun 2018 | 4:07pm
PHUA Tai Neng. - Foto Owee Ah Chun

MATTA Fair 2018 dijangka tarik 110,000 pengunjung

KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang bakal diadakan pada 7 hingga 9 September 2018 dijangka menarik lebih 110,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tai Neng, berkata setiap tahun MATTA Fair sentiasa menawarkan diskaun istimewa kepada pengunjung yang hadir.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu juga MATTA Fair menyediakan ruang khas untuk pakej umrah bagi pengunjung Muslim yang mencari agensi berlesen yang dipercayai.

"Kami yakin MATTA Fair kali ini akan mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang merancang percutian hujung tahun dan ingin mendapatkan pakej percutian pada harga berbaloi.

"Malah, kami menerima permintaan yang tinggi untuk agensi yang mengambil bahagian dan pengundian untuk ruangan antarabangsa telah dijalankan hari ini (semalam)," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi komuniti Islam, Matta Fair menyediakan kira-kira 80 tapak pameran untuk agensi Umrah dan semua agensi yang terbabit adalah mereka yang mempunyai lesen sah dan berdaftar.

Phua berkata, pihaknya menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam untuk datang ke MATTA Fair kerana lebih mudah.

Beliau berkata, pengunjung yang hadir juga berpeluang menyumbang kepada Tabung Harapan.

"Bagi pengunjung dewasa, sebanyak RM4 yuran kemasukan dikenakan dan RM1 daripadanya akan disumbangkan ke Tabung Harapan.

"Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah pula masuk adalah percuma," katanya.

Berita Harian X