Jumaat, 22 Jun 2018 | 2:15pm
PROJEK pembangunan Tun Razak Exchange (TRX). - Foto Zunnur Al Shafiq

TRX mampu lonjak KL setanding hab kewangan dunia

KUALA LUMPUR: Kelangsungan projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) mampu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya dengan pusat perniagaan serta hab kewangan setanding Tokyo, Hong Kong dan Singapura.

Pengarah Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen, berkata projek yang mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan itu mampu menjadi pembangunan berintegrasi mega seperti KLCC dan KL Sentral, yang dapat mengubah landskap perniagaan di ibu negara.

Beliau berkata, sekiranya diketepikan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta masalah bekalan berlebihan dari segi hartanah komersial, ia satu tindakan tepat untuk meneruskan projek berkenaan.

"Usaha kerajaan untuk meneruskan projek ini adalah tindakan tepat kerana ia berperanan sebagai pemacu khususnya kepada industri perkhidmatan negara bagi pasaran kewangan yang bernilai tinggi.

"Bagi merealisasikan usaha menjadikannya setanding dan kompetitif dengan negara lain, kita memerlukan bangunan dan infrastruktur dengan 'Gred A'.

"Malah, keputusan itu juga membuktikan kerajaansangat objektif dalam penilaian terhadap arah tuju masa depan ekonomi negara, khususnya dengan suntikan dana tidak melebihi RM2.8 bilion kepada projek ini," katanya kepada NSTP.

Terdahulu, Kabinet memutuskan untuk meneruskan projek TRX walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) diselewengkan 1MDB.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan bersetuju menyiapkan projek TRX dengan memperuntukkan dana tidak lebih RM2.8 bilion kepada TRXC bagi menangani kebimbangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Ia sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

Setakat ini, TRXC sudah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development (Menara The Exchange 106), HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, Lendlease dan IJM.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut senada apabila mengatakan usaha kerajaan itu dianggap sebagai tindakan yang dapat memulihkan sentimen pelabur domestik dan luar negara yang membeli tanah dan ruang pejabat di TRX dan sekitarnya.

Katanya, ia juga dapat memastikan TRX mampu beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan yang akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan, isu yang sama perlu diambil kira mengenai status projek Bandar Malaysia kerana sekiranya tidak diteruskan, ia hanya akan jadi projek besar yang terbengkalai di pintu masuk Kuala Lumpur.

"Ini akan menjejaskan reputasi Malaysia itu sendiri. Namun keutamaan pada masa sekarang ialah membuka tender kembali kepada konsortium yang sanggup membangunkan Bandar Malaysia.

"Tidak semestinya projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR) perlu ada untuk projek ini. MRT dan sistem pengangkutan awam yang lain sudah cukup untuk memastikan Bandar Malaysia kekal relevan dan berdaya saing," katanya.

54 dibaca
Berita Harian X