Khamis, 21 Jun 2018 | 8:03pm
BANGUNAN Tun Razak Exchange (TRX). - Foto Zunnur Al Shafiq

TRX City alu-alukan sokongan kerajaan

KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd (TRXC) mengalu-alukan sokongan yang dizahirkan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan untuk menyiapkan pembangunan Tun Razak Exchange.

Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib, berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana yakin terhadap TRX, hab kewangan antarabangsa yang baharu di bandaraya Kuala Lumpur.

"Pelabur kami akan melihat komitmen ini sebagai positif yang mana ia menggambarkan pendirian pro-perniagaan kerajaan.

"Kami membuat kemajuan yang besar dengan projek ini dan berjaya menarik pelabur bertaraf dunia. Dengan sokongan yang sangat diperlukan ini, dan komitmen berterusan dari rakan kongsi, kami berharap dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan untuk manfaat negara dan semua rakyat Malaysia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kabinet memutuskan untuk meneruskan projek Bangunan Tun Razak Exchange (TRX) walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) diselewengkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan bersetuju menyiapkan projek TRX dengan memperuntukkan dana tidak lebih RM2.8 bilion kepada TRXC.

Katanya, keputusan itu akan menangani kebimbangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB iaitu TRX dan Bandar Malaysia.

Sementara itu, menyentuh mengenai dana yang dimaksudkan, TRXC berkata, satu laporan polis akan dibuat.

12 dibaca
Berita Harian X