Rabu, 13 Jun 2018 | 12:17pm
TOYOTA Motor Corp bersetuju melabur AS$1 bilion dalam Grab, syarikat e-panggilan Asia Tenggara. - Foto Reuters

Toyota labur AS$1 bil dalam Grab Asia Tenggara

SINGAPURA: Toyota Motor Corp bersetuju melabur AS$1 bilion dalam Grab, syarikat e-panggilan Asia Tenggara.

Pelaburan oleh Toyota itu adalah yang terbesar oleh syarikat automotif dalam sektor e-panggilan global, kata syarikat berusia enam tahun itu dalam satu kenyataan.

Ia juga adalah kerjasama terkini antara pengeluar kenderaan global dan syarikat teknologi bila mana syarikat e-panggilan mendominasi perkhidmatan mudah alih ketika ini.

SoftBank Group Corp yang berpangkalan di Jepun bulan lalu mengumumkan ia akan melabur AS$2.25 bilion dalam Cruise, unit kenderaan autonomi General Motors Co, manakala Fiat Chrysler Automobiles NV dan Jaguar Land Rover Automotive PLC bersetuju untuk membekal kenderaan kepada Waymo, anak syarikat kenderaan panduan sendiri milik Alphabet Inc.

Pelaburan Toyota itu akan membolehkan Grab mengembangkan lagi perkhidmatannya, seperti penghantaran makanan dan pembayaran digital secara lebih meluas lagi d rantau ini.

Grab akan dinilai di atas AS$10 bilion selepas pelaburan Toyota itu.

Pegawai Toyota akan dilantik ke dalam lembaga pengarah Grab dan satu pasukan khas Toyota akan menyokong Grab sebagai pegawai eksekutif, kata Grab. - Reuters

Berita Harian X