Selasa, 12 Jun 2018 | 2:55pm
DATUK Mohd Naim Daruwish. - Foto NSTP

Penggunaan i-Akaun KWSP terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan 80.58 peratus jumlah penggunaan perkhidmatan elektronik utama, i-Akaun pada suku tahun pertama operasi 2018 kepada 11.12 juta berbanding 6.16 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Sehingga akhir Mac 2018, seramai 5.06 juta ahli berdaftar dengan i-Akaun, mewakili 36.38 peratus dari keseluruhan jumlah ahli KWSP yang turut merekodkan peningkatan jumlah muat turun aplikasi mudah alih 'EPF i-Akaun' kepada 2.36 juta sejak diperkenalkan pada 2014.

Selain itu, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan pada i-Akaun bagi memudahkan ahli untuk menerima maklumat terkini mengenai produk dan perkhidmatan KWSP secara 'real-time' serta pengumuman lain.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata dana persaraan pekerja swasta itu memperkenalkan beberapa penambahbaikan pada saluran perkhidmatannya berikutan jumlah ahli dan majikan yang meningkat setiap suku tahun.

"Kami lebih mengkhususkan kepada perkhidmatan i-Akaun berikutan peranannya sebagai gerbang utama untuk ahli dan majikan menyemak akaun selain mengakses perkhidmatan atas talian lain seperti e-Pengeluaran dan e-Caruman.

"Selain itu, kami gembira dengan peningkatan dalam penggunaan i-Akaun oleh majikan yang berdaftar dengan KWSP yang sangat membantu majikan dalam mengemukakan maklumat caruman pekerja serta membuat pembayaran atas talian.

"Ia juga dapat mengurangkan kesilapan selain memastikan majikan tidak tertunggak dalam membuat bayaran caruman mereka setiap bulan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada penghujung Mac 2018, sebanyak 433,691 atau 99.95 peratus majikan menggunakan saluran elektronik KWSP, termasuk e-Caruman, untuk mengemukakan maklumat caruman pekerja, manakala 333,550 atau 77.22 peratus menggunakan sistem e-Bayaran bagi membuat bayaran caruman.

Sementara itu, dalam suku tahun dikaji, jumlah pelawat ke laman myEPF meningkat 29.11 peratus kepada 8.66 juta dari 6.71 juta pada tempoh sama tahun lalu manakala, penggunaan Kiosk KWSP menurun sebanyak 11.22 peratus dari 3.81 juta pada suku pertama 2017 kepada 3.38 juta suku pertama 2018.

Mohd Naim berkata, jumlah pelawat ke kaunter KWSP menurun 12.88 peratus dari 929,729 dalam suku pertama 2017 kepada 810,022 dalam suku sama tahun ini menunjukkan pilihan ahli yang lebih cenderung kepada platform atas talian untuk berinteraksi dengan KWSP.

Katanya, jumlah panggilan yang diterima oleh Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP pula meningkat 15.43 peratus kepada 425,873 pada suku tahun yang dikaji.

Berita Harian X