Isnin, 11 Jun 2018 | 1:17pm

Jualan sektor pembuatan cecah RM60.5 bilion

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada April 2018 mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus kepada RM65.5 bilion berbanding RM60.5 bilion yang dilaporkan pada April tahun lalu.

Jabatan Perangkaan berkata peningkatan ketara nilai jualan pada April itu didorong oleh peningkatan produk peralatan elektrik dan elektronik (13.9 peratus), petroleum, kimia, produk getah dan plastik (6.3 peratus) serta makanan dan minuman serta produk tembakau (6.4 peratus).

Jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan bagi bulan yang sama meningkat 2.1 peratus kepada 1.07 juta orang berbanding 1.05 pekerja pada April 2017.

"Gaji dan upah meningkat 10.2 peratus kepada RM3.8 bilion, sekali gus mencatatkan purata gaji dan upah setiap pekerja kepada RM3,577 pada April," katanya.

Nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat 6.0 peratus kepada RM61,226 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.6 peratus pada April 2018 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya

Pertumbuhan pada April disokong oleh kenaikan semua indeks, dengan pembuatan (5.3 peratus), perlombongan (1.8 peratus) dan elektrik (5.8 peratus).

Keluaran sektor pembuatan meningkat 5.3 peratus pada April selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus pada Mac.

Subsektor utama yang mencatatkan kenaikan pada April ialah produk peralatan elektrik dan elektronik (6.6 peratus), petroleum, kimia, getah dan produk plastik (3.0 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (4.7 peratus).

Pengeluaran sektor perlombongan mencatatkan kenaikan 1.8 peratus pada April 2018 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan kenaikan indeks minyak mentah (4.4 peratus).

Sementara itu, indeks gas asli susut 0.4 peratus manakala pengeluaran elektrik meningkat 5.8 peratus pada April selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.

- BERNAMA

Berita Harian X