Rabu, 30 Mei 2018 | 7:05pm
KETUA Pakar Ekonomi Kumpulan IQI, Shan Saeed.

Tidak perlu bimbang penarafan kredit diturunkan

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu bimbang penarafan kredit kerajaan diturunkan oleh agensi penarafan kerana kaitannya dengan pasaran kewangan global adalah minimum, kata Ketua Pakar Ekonomi Kumpulan IQI, Shan Saeed.

"Di IQI Global kami merasakan bahawa asas ekonomi makro Malaysia agak kukuh dan lembaran imbangan masih sihat.

"Harga minyak yang lebih tinggi akan merangsang fiskal dan permintaan agregat akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar," katanya kepada Bernama News Channel dalam satu temu bual di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu mengekalkan keyakinan ekonomi dengan memulakan strategi penglibatan yang berkesan dengan pemain pasaran.

Shan berkata, agensi penarafan telah kehilangan kredibiliti mereka sejak 18 tahun lalu, bermula daripada kejatuhan Worldcom, Enron, Arthur Andersen, Bears Stearns, Lehman Brothers dan skandal Madoff.

"Untuk memahami ekonomi, kita perlu memahami psikologi rakyat, kebudayaan, laporan risikan pasaran dan etika kerja negara.

"Agensi penarafan terbabit telah salah di Malaysia dalam banyak hal, jadi tidak ada orang yang mengambil kisah untuk mendengar langkah lapuk laporan mereka," katanya.

Shan berkata demikian sebagai tindak balas kepada dakwaan pihak tertentu bahawa penarafan kredit Malaysia akan diturunkan berikutan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan.

Pihak berkenaan mendakwa langkah itu akan membawa kepada peningkatan defisit yang menyebabkan tahap hutang yang melambung tinggi.

- BERNAMA

Berita Harian X