Khamis, 24 Mei 2018 | 12:55pm
TAN Sri Mohd Munir Abdul Majid. - Foto Zulaikha Zainuzman

Profesional perlu kekal etika, entegriti

KUALA LUMPUR: Mengekalkan standard etika dan integriti tertinggi adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan untuk menjadi seorang profesional, kata Pengerusi Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB), Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid.

Beliau berkata, pelanggaran amanah dan standard etika oleh orang yang cerdik dan berdaya saing adalah antara penyebab utama hilangnya keyakinan orang awam terhadap sesuatu institusi itu.

"Akauntabiliti adalah sangat penting. Tanpa akauntabiliti tiada siapa akan peduli, sama ada dalam politik mahupun institusi. "Pastinya, akauntabiliti akan ada sekiranya ada ketelusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kod Profesional FSPB bagi industri perkhidmatan kewangan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Jessica Chew.

Sungguhpun tidak menyebut mana-mana individu atau institusi, adalah difahamkan ulasan beliau itu merujuk, antaranya, kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan profesional yang diamanah untuk menguruskannya.

Berhubung pelancaran Kod Profesional FSPB bagi industri perkhidmatan kewangan, Munir berkata ia bertujuan menyemai standard teras minimum ke atas tingkah laku, meningkatkan keyakinan dan mempromosi kemampanan merentas sektor dengan mempromosi budaya profesionalisme yang utuh.

Kod profesional itu adalah sebahagian daripada Kod Etika FSPB (CoE) yang dilancarkan pada Januari 2016.

Sementara CoE merujuk kepada prinsip etika meluas, Kod Profesional FSPB menyediakan 10 standard teras minimum berkaitan tingkah laku profesional merentas FSI dalam sektor perbankan, insurans, pasaran modal dan kewangan Islam.

"Kita mahu Kod Profesional FSPB menjadi pemangkin dalam mengubah set minda semua peserta dalam industri perkhidmatan kewangan ke arah pengawalseliaan diri yang lebih tinggi," katanya.

46 dibaca
Berita Harian X