Jumaat, 18 Mei 2018 | 7:13pm
PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan yang juga Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan. - Foto BERNAMA

Kos sebenar ECRL lebih RM66 bilion

KUALA LUMPUR: Kos sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah melebihi daripada RM66 bilion, demikian menurut Majlis Penasihat Kerajaan.

Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin berkata, nilai sebenar projek yang dinyatakan kerajaan sebelum ini adalah tidak tepat.

"Fasa pertama projek itu sahaja adalah RM55 bilion, tidak termasuk pembangunan fasa kedua yang membabitkan jumlah sebanyak RM11 bilion (menjadikan RM66 bilion).

"Jika dicampurkan dengan kadar faedah dan semuanya, kebarangkalian jumlahnya lebih banyak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Daim yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, angka terbaharu itu diterima hasil pertemuan selama enam hari dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selain pengendali ECRL,  Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

"Jadi, kita berdepan kemungkinan pembayaran balik lebih banyak daripada jumlah yang dinyatakan sebelum ini berikutan 85 peratus daripada projek mega itu dibiayai oleh Exim Bank China yang mengenakan faedah 3.25 peratus," katanya.

Mengenai kebimbangan penurunan penarafan hutang Malaysia oleh agensi penarafan global, Daim berkata, beliau tidak begitu memfokuskan mengenai perkara itu.

"Saya tidak begitu mengambil berat terhadap penarafan. Ketika kita diturunkan penarafan kredit pada 1998 pun, saya tidak ambil kisah. Kita tidak perlu terlalu risau mengenainya. Apa yang perlu kita bimbangkan adalah apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Daim berkata, ia dijangka diperkenalkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, ia masih di peringkat kajian teliti kerana membabitkan pelbagai pihak.

Mengenai prestasi ringgit pada masa ini, beliau berkata, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan baharu.

23 dibaca
Berita Harian X