Rabu, 2 Mei 2018 | 3:02pm

SME Corp sasar usahawan manfaat transaksi tanpa tunai

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan RHB Bank Bhd terus mengukuhkan pembayaran tanpa tunai bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menyasarkan 100,000 usahawan akan menggunakan transaksi tanpa tunai menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata, pihaknya percaya jumlah PKS yang akan beralih kepada transaksi digital akan meningkat dari masa ke masa.

Katanya, SME Corp telah menjalin kerjasama dengan banyak pihak berkaitan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat tanpa tunai terutama PKS dan terbaru pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan RHB Bank bagi membantu PKS meningkatkan pertumbuhan pelaksanaan transaksi secara digital.

"Setakat ini, lebih 13,000 PKS menggunakan transaksi digital dan kita menyasarkan sebanyak 10 peratus daripada kira-kira sejuta PKS di seluruh negara bagi tahun ini dan kami yakin ia akan terus meningkat kerana manfaat yang ditawarkan dan selamat dalam transaksi tanpa tunai.

"Melalui kerjasama dengan RHB Bank juga kami akan memberi fokus menarik lebih ramai PKS menggunakan ekosistem pembayaran digital secara berkesan terutama menerusi penyelesaian holistik RHB Bank," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis MoU antara SME Corp dan RHB Bank yang dilantik sebagai ejen JomPAY di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking, Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser.

Sementara itu, Khairussaleh berkata, pihaknya bersedia untuk menawarkan Sistem Pengurusan Tunai Online RHB Reflex, JomPAY dan penyelesaian lain dalam usaha membantu PKS.

Katanya, inisiatif dan sistem yang direka bentuk ini adalah antara menyokong usaha kerajaan meningkatkan keberkesanan sistem pembayaran negara sekali gus sebagai penyelesaian terhadap cabaran perniagaan PKS dalam segmen pembayaran.

"Setakat Februari 2018, kami mempunyai 74,000 pelanggan yang menggunakan platform Reflex," katanya.

55 dibaca
Berita Harian X