Selasa, 1 Mei 2018 | 10:53am
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Selangor belum beri kelulusan projek ECRL

KUALA LUMPUR: Selangor menjadi satu-satunya negeri yang belum memberi kelulusan permohonan tanah untuk pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sekali gus dibimbangi menjejaskan pelaksanaan yang dijadualkan beroperasi pada 2024.

Setakat ini, pembangunan projek ECRL yang bermula sejak November lalu itu hanya tertumpu kepada tanah milik kerajaan di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri berkenaan.

Walau begitu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik dan pengendali ECRL, bertekad untuk terus berusaha berbincang dengan kerajaan negeri Selangor supaya ia dapat dimuktamadkan walaupun mungkin mengambil sedikit masa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata isu di Selangor ketika ini ialah pihaknya masih belum mendapat kelulusan dasar di peringkat kerajaan negeri walaupun sudah pun mengadakan pertemuan.

"Saya yakin kerajaan negeri sedang mengkaji mana-mana jajaran untuk dinaik taraf, yang mana di negeri itu terdapat lebih kurang 100 kilometer (untuk dinaik taraf).

"Jika terlewat sedikit pun saya rasa tiada masalah, namun jajaran di Selangor paling penting kerana menghubungkan dua pelabuhan. Perjumpaan pertama dulu, Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) gembira dengan projek dan bersetuju ia dilaksanakan. Namun, selepas perjumpaan itu masih tiada sebarang hubungan atau apa-apa (tindakan berikutnya)," katanya dalam satu temubual bersama NSTP di sini, baru-baru ini.

Pembinaan ECRL sepanjang 688 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan fasa pertama membabitkan laluan landasan kereta api elektrik melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan jajaran sepanjang 531.6 kilometer dan jajaran sisihan sepanjang 68.7 km.

Di bawah pembinaan fasa pertama, jajaran berkenaan akan menghubungkan semua pusat bandar utama di pantai timur dan mempunyai 12 stesen penumpang, tiga stesen kargo, tujuh stesen penumpang dan kargo.

Pembangunan fasa kedua pula membabitkan sambungan fasa pertama di Kelantan dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor dan Selangor dari Gombak-Serendah-Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) dengan jajaran utama sepanjang 102.3 kilometer dan jajaran sisihan sepanjang 4.5 kilometer dengan dua stesen penum­pang dan dua stesen penumpang dan kargo.

Dalam pembinaan fasa kedua ECRL, Selangor akan mempunyai laluan paling panjang iaitu 80 kilometer dari Gombak ke Pelabuhan Klang berbanding 19 kilometer dalam fasa pertama.

Sementara itu, Darwis berkata MRL bercadang untuk membangunkan landasan berkembar bagi ECRL memandangkan ada keperluan untuk membinanya.

Katanya, berdasarkan kajian fizikal yang dibuat pada 2010, keperluan pada masa itu menjelaskan bahawa landasan tunggal adalah mencukupi.

"Namun, jika dilihat keadaan sekarang, jumlah penumpang termasuklah yang menggunakan perkhidmatan ETS semakin meningkat.

"Landasan tunggal ini masalahnya akan membabitkan perkara lain. Contohnya, perlu ada penjadualan bagi membolehkan tren melaluinya. Akan ada pengumuman mengenainya, kita tunggu," katanya.

Formasi jajaran ECRL yang akan dibina ketika ini adalah menggunakan landasan tunggal formasi berkembar.

Berita Harian X