Jumaat, 27 April 2018 | 6:54pm
KERAJAAN menyasarkan eksport sawit berjumlah RM80 bilion tahun ini. - Foto hiasan

Malaysia sasar eksport sawit RM80 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan eksport sawit berjumlah RM80 bilion tahun ini, didorong oleh pengeluaran lebih tinggi dan pengukuhan harganya. .

Tahun lalu, data Jabatan Perangkaan menunjukkan eksport sawit Malaysia berjumlah RM77.8 bilion.

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk K Yogeesvaran berkata output sawit Malaysia dijangka mampu mencecah sehingga 20.5 juta tan tahun ini.

"Saya berharap, dengan usaha pemasaran lebih bersepadu dalam pasaran sedang pesat berkembang seperti Iran, Vietnam dan Filipina, eksport pada tahun ini akan melebihi RM80 bilion," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu forum sawit di sini, hari ini.

Awal tahun ini, Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengundi untuk melarang biofuel berasaskan sawit menjelang 2021, manakala biofuel berasaskan sayuran lain seperti minyak soya dan minyak biji sesawi boleh terus digunakan sehingga 2030.

Semasa diminta mengulas perkara itu, Yogeesvaran sekali lagi menegaskan bahawa larangan ke atas sawit yang dikenakan oleh Parlimen EU itu adalah satu bentung halangan perlindungan perdagangan yang tidak boleh diterima, serta melanggar komitmen Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Malaysia membangkitkan isu itu pada Jawatankuasa Teknikal Halangan Terhadap Perdagangan (TBT) dan Majlis Perdagangan Barangan (CTG) WTO pada 20 hingga 23 Mac lalu, bersama-sama Thailand, Indonesia, Colombia, Costa Rica serta Guatemala.

Yogeesvaran berkata, EU mengadakan mesyuarat rundingan 'dialog tiga hala' terbaharunya pada 27 Mac lalu di Brussels, bagi membincangkan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui (RED).

Mesyuarat dialog tiga hala berikutnya akan diadakan pada 17 Mei depan.

Adalah diketahui secara meluas bahawa biofuel sawit Malaysia diiktiraf lestari di bawah RED oleh skim kelesetarian utama Eropah, yang dikawal selia oleh Suruhanjaya EU.

"Kami menjangkakan layanan sama bagi eksport sawit ke Eropah. Kami menggesa Suruhanjaya Eropah, kerajaan Eropah, dan Majlis EU supaya menolak cadangan larangan sawit itu," kata Yogeesvaran.

Berita Harian X