Ahad, 15 April 2018 | 4:57pm
Foto hiasan

Malaysia kekal destinasi teratas pengembaraan Islam global

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebagai destinasi nombor satu dalam pasaran pelancongan Muslim global, menurut kaji selidik Indeks Pelancongan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2018.

Kaji selidik itu yang meninjau 130 destinasi, memperlihatkan Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga teratas untuk lapan tahun berturut-turut.

Indeks itu menunjukkan negara ini mencatatkan markah indeks 80.6, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia pada 72.8 markah.

Sebagai perbandingan, Singapura mencatatkan markah tertinggi bagi destinasi bukan OIC dengan iaitu 66.2 markah, manakala Taiwan dan Jepun terus meningkatkan penarafan keseluruhan purata markah GMTI mengikut rantau yang memainkan peranan menjadikan Asia sebagai kawasan utama untuk pelancong muslim, diikuti Eropah.

Kajian itu menunjukkan pada 2017, terdapat kira-kira 131 juta pelancong Islam di seluruh dunia, meningkat 121 juta berbanding 2016 dan ia dijangka bertambah kepada 156 juta pengunjung menjelang 2020, merangkumi 10 peratus daripada segmen pelancongan.

GMTI 2018 turut membuktikan bahawa pasaran pelancongan Muslim bakal meneruskan pertumbuhan pantas untuk mencecah angka AS$220 bilion pada 2020.

Pasaran itu diunjur meningkat sebanyak AS$80 bilion untuk mencecah angka AS$300 bilion menjelang 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Rating & HalalTrip, Fazal Bahardeen, berkata pihaknya pada tahun ini merombak kriteria indeks untuk mencerminkan strategi pertumbuhan yang dilaksanakan oleh beberapa destinasi yang menyaksikan pergerakan positif dalam indeks.

"Kami kini mula melihat kesan pelaburan dan komitmen oleh destinasi di seluruh dunia terhadap pasaran pelancongan Muslim, yang manfaatnya diperlihatkan oleh perubahan penarafan yang nyata.

"Hasil menggunakan data dan maklumat daripada laporan GMTI terdahulu menampakkan Indonesia, Singapura, Jepun dan Taiwan kini semakin merapatkan jurang," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Serantau Mastercard bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei, Safdar Khan, berkata rantau ASEAN dianggarkan akan menerima kunjungan 18 juta pelancong Muslim menjelang 2020, mewakili hampir 15 peratus daripada pelancong di rantau ini.

"Berasaskan indeks ini, Malaysia terus mengukuhkan status sebagai destinasi halal yang terulung di dunia.

"Ini mencerminkan pelbagai inisiatif yang diambil oleh pemain industri untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan mesar muslim sebagai sebahagian daripada tawaran kembara dan pelancongan negara.

"Perniagaan di Malaysia juga perlu memahami dan menganalisis permintaan dengan lebih baik dan juga merangka tawaran baharu untuk kekal di hadapan," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuk penubuhan Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk menyelaraskan risikan pasaran, merangka dasar pelancongan dan membina kapasiti dan penyediaan rangka kerjda di bawah Pelan Induk Industri Halal 2.0 untuk menangani perkembangan dalam industri.

INFO

KEDUDUKANKEDUDUKAN GMTI 2018DESTINASISKOR

11Malaysia80.6

22Emiriah Arab Bersatu72.8

22Indonesia72.8

44Turki69.1

55Saudi Arabia68.7

77Qatar66.2

68Bahrain65.9

89Oman65.1

910Maghribi61.7

1011Kuwait60.5

Kedudukan 10 destinasi bukan negara OIC teratas

KEDUDUKANKEDUDUKAN GMTI 2018DESTINASISKOR

16Singapura66.2

218Thailand56.1

319United Kingdom53.8

424Jepun51.4

527Taiwan49.6

527Hong Kong49.6

732Afrika Selatan47.7

835Jerman45.7

936Perancis45.2

1037Australia44.7

21 dibaca
Berita Harian X