Rabu, 11 April 2018 | 5:38pm
- Foto hiasan

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat tiga peratus

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat sebanyak 3.0 peratus pada Februari 2018 berbanding bulan sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan, hari ini.

Menurut jabatan berkenaan, peningkatan pada bulan Februari disumbangkan oleh pertumbuhan positif indeks Pembuatan sebanyak 4.7 peratus dan indeks Elektrik sebanyak 2.8 peratus, sementara indeks Perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 1.6 peratus

IPP pada Januari 2018 disemak semula kepada 5.4 peratus tahun ke tahun, kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan.

Berasaskan tahun ke tahun, output sektor Pembuatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada Februari selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus pada Januari.

Sub-sektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Februari 2018 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.0 peratus), produk peralatan elektrik dan elektronik (5.4 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.0 peratus)

Output sektor perlombongan mencatatkan penyusutan sebanyak 1.6 peratus berbanding 1.5 peratus yang direkodkan pada Januari disebabkan oleh penyusutan dalam indeks Gas Asli (-3.5 peratus).

Sementara itu, indeks Minyak Mentah meningkat sebanyak 0.5 peratus manakala output elektrik merekodkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus pada bulan Februari berasaskan tahun ke tahun. - BERNAMA

Berita Harian X