Khamis, 5 April 2018 | 7:07pm

Projek ECRL sasar guna 70 peratus pekerja tempatan

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dibangunkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utamanya, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menyasarkan pengambilan 70 peratus pekerja tempatan.

Sementara itu, baki 30 peratus lagi adalah tenaga kerja dari China dan negara Asia lain.

Jurucakap MRL dalam satu kenyataan di sini semalam, berkata secara keseluruhannya, setakat ini terdapat sejumlah 1,718 tenaga kerja pembinaan yang diperlukan bagi projek ECRL yang mana hanya 311 orang atau 18 peratus saja adalah pekerja dari negara China.

Katanya, pada sepanjang Mac lalu, terdapat lebih 2,000 pemohon menjalani temuduga melalui empat siri temuduga terbuka yang dijalankan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Lembah Klang sekali gus membuktikan usaha pengambilan pekerja tempatan sedang rancak dilakukan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 115 pemohon dipilih untuk menyertai Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) manakala, pemohon lain yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan oleh CCCC atau subkontraktor projek ECRL," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

PLKI-ECRL adalah satu usaha sama antara MRL, CCCC dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk melatih dan menyerap secara automatik rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan latihan ke dalam projek ECRL.

Program itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh CCCC, di mana syarikat pembinaan terkemuka itu menaja RM23 juta untuk menjalankan program latihan itu.

Program yang bermula sejak September 2017 itu menyaksikan seramai 185 pelatih menamatkan latihan pada Januari dan Februari 2018 dan menjawat pelbagai jawatan dalam MRL dan CCCC.

Pada masa sama, seramai 244 pelatih kini sedang menjalani program latihan berkenaan dan dijangka menamatkan latihan pada akhir April ini.

Sementara itu, dianggarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dijangka ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan projek mega infrastruktur untuk rakyat itu.

Mengulas lanjut, katanya, pihak MRL turut berharap rakyat tempatan mengambil peluang untuk terbabit sama dalam kerja pembinaan projek ECRL kerana pemindahan kepakaran teknologi rel dari China dapat memberi manfaat untuk jangka masa panjang kepada negara. Tambahnya, kontraktor utama ECRL turut memberi keutamaan kepada penggunaan bahan binaan dari syarikat tempatan dalam negara.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa mesin dan peralatan khas seperti mesin pengorek terowong perlu dibawa masuk dari China dan dikendalikan oleh pakar bagi melancarkan kerja pembinaan terowong di lokasi tertentu.

"Program PLKI-ECRL juga menawarkan latihan kepada anak tempatan bagi mengendalikan beberapa jenis jentera yang dibawa masuk dari China," katanya.

Setakat Februari 2018, sebanyak 215 syarikat tempatan terbabit dalam pembinaan projek infrastruktur ECRL, yang mana bilangan terbabit terdiri daripada 26 syarikat perunding, 99 syarikat pembekal dan 90 kontraktor tempatan.

Berita Harian X