Selasa, 3 April 2018 | 6:14pm
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar (tengah) bersama PPresiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (enam kanan) bergambar bersama rakan korporat pada pada majlis prapelancaran MSAM 2018 di sini, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

MSAM 2018 sedia hadiah rumah teres untuk pengunjung

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB), julung kali menampilkan rumah teres sebagai hadiah utama untuk pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 yang berlangsung di Stadium Batu Pahat, Johor dari 19 hingga 25 April ini.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata tahun ini pihaknya menyasarkan 150,000 pengunjung hadir sepanjang MSAM berlangsung.

Katanya, program selama seminggu itu adalah acara tahunan PNB yang diadakan sejak tahun 2000 dan telah berjaya menarik minat 3.6 juta pengunjung.

"Penganjuran acara tahunan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

"Dalam masa sama, pameran ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami pelaburan unit amanah terutama hubung kaitnya dengan risiko pelaburan," katanya pada majlis prapelancaran MSAM 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad; Pengerusi Malayan Banking Bhd, Datuk Mohaiyani Shamsudin; Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Bhd, Tan Sri Hamad Kama Pian Che Othman;Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Bhd, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

MSAM 2018 turut memperkenalkan 13 syarikat pelaburan PNB yang juga rakan korporatnya untuk tahun ini.

Hadiah utama ialah rumah teres unit tengah di Bandar Universiti Pagoh, dibangunkan oleh Sime Darby Property yang bernilai RM375,000. Antara hadiah lain menanti pengunjung pada majlis perasmian ialah kereta Hyundai Ioniq Kappa 1.6 HEV Plus, manakala Toyota Vios 1.5 GX (AT) pula untuk majlis penutup.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, berbeza dengan tahun lalu, pameran MSAM 2018 turut menampilkan elemen digital dengan penggunaan aplikasi mudah alih MSAM 2018.

Melalui aplikasi itu, pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai setiap program atau acara sepanjang MSAM 2018 berlangsung dan mendaftar untuk menyertai mana-mana acara.

Antara program yang akan dijalankan sepanjang berlangsungnya MSAM 2018 termasuklah Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak ASING, Investment Game Sekolah Kelab Pelaburan Bijak PNB Mega, Cendekiawan Muda Takaful Ikhlas, CCM Duopharma Interschool Showdown dan Simposium Usahawan MSAM 2018.

Berita Harian X