Isnin, 2 April 2018 | 4:28pm
AHLI Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Jamelah A Bakar (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Naib Canselor UNITAR, Profesor Madya Mohamad Kamal Nawawi (dua kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad (dua kanan) pada majlis memeterai perjanjian persefahahaman (MoU) dengan UNITAR International University (UNITAR) di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

PUNB sasar lahir 100 usahawan mahasiswa

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan penyertaan 100 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam Skim Budding PUMA bagi melahirkan usahawan dalam kalangan mahasiswa Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad, berkata skim yang dilancarkan pada 11 Oktober tahun lalu itu mempunyai peruntukkan sebanyak RM1 juta.

"Pembiayaan maksimum adalah sebanyak RM10,000 dan tempoh pembiayaan adalah antara enam hingga 18 bulan, dengan margin keuntungan tetap hanya 2.0 peratus setahun,"

"Setakat ini, Skim Budding PUMA sudah pun menerima 20 permohonan atau kira-kira RM200,000 pembiayaan dan ia masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Justeru, saya seru pelajar atau graduan di luar sana yang mahu menceburi bidang perniagaan, segera daftar dengan PUNB sebagai jambatan emas untuk menjana pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian persefahahaman (MoU) dengan UNITAR International University (UNITAR) di sini, hari ini.

MoU yang dimeterai bermatlamat membangunkan prinsip keusahawanan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi.

Turut hadir, Naib Canselor UNITAR, Profesor Madya Mohamad Kamal Nawawi; Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Jamelah A Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR Capital Sdn Bhd, Puvan Balachandran dan Dekan Fakulti Perakaunan Teknologi Perniagaan UNITAR, Professor Dr Susela Devi K Suppiah.

Menerusi kerjasama itu, PUNB akan bekerjasama dengan Fakulti Teknologi Perniagaan dan Perakaunan UNITAR dalam membangunkan usahawan muda Bumiputera.

Di bawah perjanjian, UNITAR akan mengenalpasti usahawan berpotensi, terutama kalangan mahasiswa yang sedang mengambil jurusan keusahawanan dalam Program Pengurusan UNITAR, yang wajar dipertimbangkan untuk menerima pembiayaan PUNB, menerusi Skim Budding PUMA, Program JUMPER, PROSPER Usahawan Muda serta skim yang berkaitan.

Sementara itu, Susela berkata setakat ini universiti sudah pun mengenal pasti 50 pelajar yang berpotensi untuk menyertai skim berkenaan.

"Kedua-dua pihak akan menjalankan latihan dan program pemantapan pembangunan usahawan dan bakal usahawan muda Bumiputera terutama dalam menguasai kemahiran yang diperlukan dalam membangunkan sebuah perniagaan.

"Ia diharap dapat memberi manfaat kepada pembangunan sumber manusia, ekonomi dan komuniti UNITAR," katanya.

Antara bidang perniagaan tumpuan adalah penjagaan kesihatan, perniagaan trak bergerak, gaya hidup, e-dagang, pendidikan, makanan dan minuman serta percetakan.

INFO

Pembiayaan Budding PUMA:

*Menawarkan pembiayaan patuh Syariah dari RM1,000 hingga RM10,000

*Terbuka kepada siswa berumur 30 tahun ke bawah dan masih menuntut sepenuh masa

Berita Harian X