Jumaat, 30 March 2018 | 8:30pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sesi sembang petang bersama usahawan Bumiputra pada Himpunan Usahawan Bumiputera 2018 di Axiata Arena turut bersama Menteri Perdagang Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri). - Foto Syarafiq Abd Samad

GLC, agensi kerajaan bantu perkasa PKS Bumiputera

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk memperkasakan usahawan Bumiputera dengan bantuan enam syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.

Berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) di Kuala Lumpur hari ini, Datuk Seri Najib Razak berkata enam syarikat serta agensi berkenaan iaitu PETRONAS, Malaysia Airlines Bhd, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), MARA, Johor Corporation dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan membantu mewujudkan syarikat Bumiputera yang lebih berjaya.

Perdana Menteri berkata, penyertaan enam syarikat dan agensi berkenaan dijangka akan meningkatkan kejayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera ke tahap lebih tinggi.

HUB 2018 mengumpulkan kira-kira 14,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada ekspo berlangsung dua hari hingga esok.

Acara itu juga turut menyaksikan memorandum perjanjian di antara SME Corp dengan Axiata Digital Ecode Sdn Bhd bagi pelaksanaan Pembangunan Teknologi dan Program e-Wallet bagi mendigitalkan lebih 100,000 usahawan PKS.

Selain itu, Axiata Group Bhd memberi sumbangan korporat bernilai RM1 juta untuk penggalakan Inovasi Digital menerusi anak syarikatnya Celcom, Axiata Digital Services dan Boost.

Ia bertujuan bagi Program Inovasi PKS dikenali sebagai Axiata Digital Innovation Award dengan kerjasama SME Corp.

34 dibaca
Berita Harian X