Jumaat, 30 March 2018 | 7:27pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama penerima Anugerah Usahawan Bumiputera pada Himpunan Usahawan Bumiputera 2018 di Axiata Arena. Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat dari kiri) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan). - Foto Asyraf Hamzah

BumiSME satukan semua PKS Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Persatuan Bumiputera SME Malaysia (BumiSME), yang pertama seumpamanya di negara ini.

BumiSME adalah platform untuk menyatukan semua syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai latar belakang dan industri.

"Saya teruja bertemu 34 persatuan Bumiputera yang datang dari seluruh negara. Namun, tiada satu pun persatuan khusus untuk usahawan PKS Bumiputera yang menjadi konduit kepada kerajaan dalam mengetengahkan isu PKS Bumiputera.

"Jadi saya mengumumkan penubuhan BumiSME dan Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sementara (Protem)," katanya ketika berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) di sini, hari ini.

Najib turut mengunumkan dana awalan berjumlah RM10 juta, yang akan disalurkan menerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp).

"Dengan dana ini, saya mengamanahkan BumiSME memganjurkan pesta mega tahunan ekspo dan jualan PKS Bumiputera negara.

"Di ekspo ini, usahawan dari pelusuk Malaysia dapat mempamer dan menjual produk serta perkhidmatan secara besar-besaran," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, BumiSME adakah inisiatif baharu yang akan memperkasakan usahawan Bumiputera.

"Ini adalah komitmen kerajaan membantu dan memperkasakan usahawan. MITI akan bersama Al Amin untuk memastikan persatuan ini berjaya," katanya.

25 dibaca
Berita Harian X