Rabu, 28 March 2018 | 5:43pm
TAN Sri Ahmad Tajuddin Ali. - Foto fail NSTP

Penggunaan IBS oleh kontraktor semakin meningkat

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyaksikan peningkatan dalam pelaksanaan Sistem Binaan Industri (IBS) dalam kalangan pemain industri terutamanya dalam sektor swasta berikutan permintaan yang rendah bagi teknologi baharu itu pada masa lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, berkata peningkatan itu dipengaruhi oleh bekalan komponen IBS yang semakin meningkat dalam pasaran serta inisiatif kerajaan untuk memacu skala penggunaan IBS.

"Tanda-tanda mula menunjukkan bahawa ekonomi IBS ini sedang berjalan. Selain daripada peraturan yang ditetapkan, kita juga meninjau pemain tempatan atau luar negara untuk membawa masuk teknologi dan komponen IBS ke dalam pasaran.

"Ini akan membantu menyemarakkan lagi penggunaan IBS di negara ini. Saya harap dengan ada semua inisiatif ini, kita akan dapat menyaksikan peningkatannya," katanya semasa berucap pada Minggu Pembinaan Antarabangsa 2018 di sini, hari ini.

Menurut Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), penggunaan IBS oleh sektor swasta dalam industri pembinaan tempatan adalah masih rendah iaitu pada 15 peratus berbanding 70 peratus dalam projek kerajaan.

Presiden MBAM, Foo Check Lee, berkata ia disebabkan oleh kos permulaan pelaksanaan IBS yang tinggi.

"Kebanyakan pembekal komponen IBS hanya beroperasi pada 50 peratus hingga 60 peratus daripada kapasitinya berikutan permintaan yang kurang," katanya.

Foo juga menggesa kerajaan untuk meningkatkan insentif dan menyediakan lebih banyak dana pelaburan modal ke atas peralatan berkaitan IBS bagi menggalakkan lebih ramai kontraktor tempatan menggunakan IBS.

Dana yang disediakan oleh kerajaan pada masa ini termasuklah Dana Promosi IBS yang disalurkan menerusi SME Bank, yang dikhaskan untuk pengeluar komponen IBS.

Sementara itu, sembilan syarikat diiktiraf kerana mencapai penarafan Lima Bintang Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE) CIDB.

Syarikat berkenaan termasuklah Acre Works Sdn Bhd, Advance Pact Sdn Bhd, Gamuda Bhd, George Kent (Malaysia) Bhd, IJM Construction Sdn Bhd, Irama Duta Sdn Bhd, Iswarabena Sdn Bhd, Putra Perdana Construction Sdn Bhd and Urusan Tinggi Wawasan Sdn Bhd.

SCORE adalah insiatif yang sedang dijalankan oleh CIDB dengan kerjasama SME COrp untuk mengukur prestasi dan kemampuan syarikat pembinaan di negara ini.

Berita Harian X