Jumaat, 23 March 2018 | 10:10pm
- Gambar hiasan

Jurang ketaksamaan Bumiputera semakin mengecil

KUALA LUMPUR: Jurang ketaksamaan Bumiputera semakin berkurangan susulan pelaksanaan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), Merapatkan Jurang Ketaksamaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan dan peluang perniagaan kepada golongan ini.

Di bawah SRI ini, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dicatatkan pada 2017 adalah 145 peratus.

Berdasarkan laporan Program Transformasi Negara (NTP), bagi memperkasa modal insan, setakat 2017 program yang dijalankan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera sudah membantu 10,300 peserta di bawah Peneraju Skil, 3,500 peserta Peneraju Profesional dan 3,900 peserta Peneraju Tunas.

Selain itu, seramai 28,330 usahawan Bumiputera sudah menerima manfaat daripada 1,109 program yang dijalankan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Di bawah Teraju International, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk mengukuhkan daya saing eksport Bumiputera.

Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) diperkenalkan pada 2017 untuk menaikkan taraf syarikat Bumiputera, memperkasa modal insan, meningkatkan daya saing Bumiputera, memastikan transformasi masyarakat Bumiputera yang menyeluruh dan holistik, serta membolehkan mobiliti sosial.

Melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB), dua syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2017 dengan peningkatan pasaran modal melebihi 50 peratus.

Bagi mencipta peluang perniagaan, sebanyak RM80.47 bilion nilai peluang perniagaan sudah disediakan pada tahun lalu.

Sebanyak RM1.73 bilion daripada Dana Mudahcara menyokong 455 syarikat membabitkan 538 projek dengan pelaburan berjumlah RM14.44 bilion.

Program 'Carve-out & Compete' pada 2017 pula menyaksikan pakej kerja bernilai RM11.02 bilion ditawarkan kepada syarikat Bumiputera menerusi projek peluasan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Bagi membangunkan usahawan, sebanyak RM110 juta disalurkan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) yang dimanfaatkan oleh 11,488 usahawan Bumiputera sejak 2015.

Sementara itu, sebanyak RM79.8 juta dalam bentuk geran diperuntukkan kepada 201 pemenang Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB).

Berita Harian X