Isnin, 19 March 2018 | 3:18pm
DATUK Seri Mah Siew Keong bergambar bersama penerima-penerima anugerah di Majlis Hari Penghargaan MSPO 2018 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sasaran ladang sawit MSPO 5.8 hektar pada 2019

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan 5.8 juta hektar kawasan tanaman sawit di seluruh negara memiliki pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjelang akhir 2019.

Malah pada akhir tahun ini, disasarkan 1.8 juta hektar daripadanya memiliki sijil berkenaan sebagai usaha menambah baik kemampanan hasil komoditi itu di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata pensijilan MSPO adalah satu daripada strategi menangani isu penting yang diwujudkan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dengan meluluskan resolusi mengaitkan pembangunan industri sawit dengan kemusnahan alam sekitar dan habitat hidupan liar.

"Sebelum ini MSPO dilaksanakan secara sukarela sejak 2015, tetapi bermula Mei 2017 kerajaan bersetuju untuk memandatorikan pensijilan MSPO kepada semua pengusaha dan pengilang sawit menjelang 2019.

"Langkah itu sebagai tindakan tepat untuk kemampanan industri sawit pada masa depan," katanya selepas merasmikan Hari Apresiasi MSPO di sini, hari ini.

Pensijilan MSPO akan menjadi asas bagi penjenamaan minyak sawit Malaysia di masa akan datang.

Beliau berkata, bagi membuktikan komitmen tinggi negara terhadap pensijilan MSPO, kerajaan juga bersetuju menyediakan insentif bagi menampung kos pensijilan itu.

"Pekebun kecil akan diberikan insentif bagi menampung 100 peratus kos pengauditan dan kos penyimpanan racun perosak serta baja, peralatan perlindungan diri (PPE) dan latihan serta dokumentasi.

"Bagi tujuan itu, sebanyak RM150 juta peruntukan keseluruhan diberi kepada semua pekebun kecil seluruh negara," katanya.

Sehingga Februari lalu, Siew Keong berkata, sejumlah 758,923 hektar kawasan tanaman sawit di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO, iaitu peningkatan 210 peratus daripada tahun lalu.

"Ia termasuk 70 kilang memproses kelapa sawit dipersijilkan, 49 kluster pekebun kecil persendirian dengan kawasan tanaman seluas 9,521 hektar, tujuh kluster pekebun kecil tersusun dengan kawasan tanaman seluas 19,110 hektar dan 260 ladang dengan kawasan tanaman seluas 730,292 hektar telah mendapat pensijilan MSPO," katanya.

Usaha dan pelbagai aktiviti akan dilaksanakan, katanya, adalah bagi meningkatkan jumlah pensijilan serta menambah baik kriteria MSPO supaya sentiasa selari dengan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, proses pensijilan perlu bermula dari sekarang kerana amalan pertanian yang baik membantu meningkatkan produktiviti dan menurunkan kos operasi.

"Ini adalah satu sistem yang bagus untuk pekebun kecil kita dan kami akan menggerakkan bantuan pegawai tunas dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) seluruh negara untuk menolong mereka dalam proses pensijilan.

"Saya menjangkakan akan lebih banyak negara akan menggunakan kaedah pensijilan ini pada masa depan. Jadi, hanya yang ada (negara) pensijilan akan ke hadapan, justeru kita tidak mahu pekebun kecil di Malaysia ini akan ketinggalan," katanya.

185 dibaca
Berita Harian X