Khamis, 8 March 2018 | 5:15pm
PROJEK pembangunan Menara Exchange 106. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

MOF sahkan terbabit pembangunan Menara Exchange 106

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengesahkan pembabitannya untuk membangunkan bersama Menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) bersama The Mulia Group.

Ia susulan anak syarikat milik penuh MOF Inc, MKD Signature Sdn Bhd (MKD) mengambil alih 51 peratus pegangan saham dalam Mulia Property Development Sdn Bhd (MPD) pada Julai 2017.

Pembinaan Menara Exchange 106 dijangka siap menjelang separuh kedua 2018, kata MOF Inc dalam satu kenyataan, hari ini.

MPD dimiliki bersama oleh The Mulia Group (49 peratus) dan MKD (51 peratus).

MOF Inc berkata, kos pembangunan Menara Exchange 106 akan ditanggung oleh kedua-dua pemegang saham berdasarkan bahagian saham masing-masing seperti yang termaktub di dalam perjanjian usaha sama (JV).

Katanya, MKD membuat perjanjian dengan HSBC Bank bagi pembiayaan tambahan kos pembinaan dengan kadar 51 peratus tanpa sebarang premium tambahan oleh syarikat usaha sama itu.

Pada Mei 2015, MPD membeli tanah TRX seluas 3.42 ekar pada harga RM665 juta daripada TRX City Sdn Bhd.

Jualan tanah TRX kepada The Mulia Group dijalankan secara komersial tanpa potongan diskaun.

Penyertaan MOF Inc dalam pembangunan menara itu hanya dipersetujui apabila projek itu mencapai kemajuan tertentu.

"Lokasi strategik menara dan sifat ikonik pembangunannya memberikan dorongan kuat kepada MOF Inc untuk turut serta dalam pembangunan dan pengurusan menara.

"Nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan kawasan pembangunan TRX adalah RM40 bilion, maka adalah penting bagi MOF Inc untuk memastikan ia menjamin satu lagi kedudukan strategik dalam kemajuan dan kejayaan pembangunan TRX," katanya.

Menara Exchange 106 mempunyai Kawasan Nett Lettable sebanyak 2.8 juta kaki persegi. Apabila selesai, menara itu akan menjadi salah satu daripada tiga struktur ikonik Malaysia selain Menara Berkembar PETRONAS dan menara Merdeka 118 Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Ia juga akan menjadi bangunan ke-15 tertinggi di dunia apabila siap kelak.

Pada masa yang sama, MOF Inc memeterai perkongsian dengan Lendlease (Australia) bagi membangunkan Lifestyle Quarter, kawasan pembangunan campuran seluas 17 ekar dalam TRX dengan struktur ekuiti sebanyak 60 peratus milik Lendlease dan 40 peratus milik MOF Inc.

"Penyiapan Menara Exchange 106 akan menjadi pemangkin bagi pembangunan dan pembinaan plot komersil di dalam TRX," kata MOF Inc sambil menambah bahawa organisasi terkemuka seperti HSBC, Prudential Insurance, Affin Bank Bhd, Tabung Haji, Landlease (Australia) komited untuk mengambil plot komersil dalam TRX.

Rundingan sedang dijalankan dengan organisasi antarabangsa lain untuk turut serta dalam pengambilan plot komersial terbabit.

MOF Inc berkata, Menara Exchange 106 akan menjadi pencetus kejayaan peranan sinergi TRX dalam meletakkan kedudukan Malaysia yang semakin penting dalam dunia kewangan global.

Berita Harian X