Rabu, 7 March 2018 | 12:54pm
MR D.I.Y. secara rasminya melancarkan gedung utamanya di Mid Valley Megamall baru-baru ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

MR D.I.Y. lancarkan gedung utama di Mid Valley

KUALA LUMPUR: MR D.I.Y. Trading Sdn Bhd (MR D.I.Y.) secara rasminya melancarkan gedung utamanya di Mid Valley Megamall baru-baru ini, dengan bertemakan "Alami Perbezaannya".

Tema itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membawakan pengalaman beli-belah yang lebih menarik di gedung MR D.I.Y, dengan memperlihatkan konsep baharu dan reka bentuk anggun, sambil menawarkan pilihan produk paling luas pada harga rendah.

Majlis pelancaran besar-besaran itu dirasmikan Ketua Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin dan anggota pengurusan kanan syarikat.

Chin berkata, gedung utama di Mid Valley itu, dengan ruang binaan seluas lebih 15,000 kaki persegi, sedia menawarkan pengalaman beli belah yang lebih menarik dan selesa kepada pengunjungnya.

Gedung itu katanya, menerapkan unsur reka bentuk moden dan futuristik, termasuk jaring siling berbentuk segi enam yang terserlah di tengah-tengah.

Reka bentuk dan ciri-ciri tersendiri lain yang menonjol termasuk kaunter juruwang dengan kemasan batu kuarza dan lorong pengunjung yang lebar.

Ruang runcit keseluruhan yang lebih luas, serta penampilan dan sentuhan dalaman serba anggun menyenangkan pembeli dan menjadikan pengalaman mereka lebih menarik.


KETUA Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"MR. D.I.Y. berbangga untuk mengambil langkah strategik bertapak di Mid Valley Megamall, antara pusat beli-belah paling popular dan terbesar di Malaysia.

"Kami yakin pembeli boleh 'Alami Perbezaannya' di gedung utama ini, kerana kami bertekad melakukan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan harian pelanggan yang dihargai," katanya.

Gedung itu adalah yang ke 360 di Malaysia dan menandakan mercu jaya penting bagi pertumbuhan MR D.I.Y. di rantau ini.

Gedung MR D.I.Y. menawarkan lebih 20,000 jenis produk menerusi sembilan bahagiannya, iaitu perkakasan, isi rumah, barangan elektrik, aksesori kereta, alat tulis, mainan, hadiah, alatan sukan dan barangan kemas dan kosmetik.

Antara kegiatan utama menarik diadakan sempena pelancaran gedung utama itu ialah majlis penyampaian hadiah peraduan "Buy, Snap & Win" MR D.I.Y. yang mana hadiah bernilai lebih RM60,000 disampaikan kepada pemenang termasuk 10 unit iPhone X (256GB) dan baucar tunai.

Selain itu, seramai 300 pengunjung pertama ke gedung MR D.I.Y. Mid Valley Megamall juga menerima hadiah percuma edisi terhad bernilai lebih RM3,800 pada hari pelancaran.

Berita Harian X