Isnin, 5 March 2018 | 8:13pm
DARI kiri, Pengarah Eksekutif Pricewaterhouse Coopers Capital Sdn Bhd (PwC) Malaysia, Mark Pui, Ketua Pegawai Eksekutif HelloGold, Robin Lee, Ketua LUNO Asia, Vijay Ayyar dan Ketua Pegawai Eksekutif Blocklime, Harpreet Singh semasa Fintech Expo 2018 Forum di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto Eizairi Shamsudin

Fintech pemangkin pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Teknologi kewangan (Fintech) perlu dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, bukannya ancaman kepada kaedah perniagaan tradisional.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata Fintech perlu digunakan sebaik mungkin terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluaskan penguasaan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

"PKS adalah tulang belakang untuk pertumbuhan ekonomi negara dan jumlah usahawan dalam sektor berkenaan  semakin bertambah yang mana kini 97 peratus daripada perniagaan di Malaysia adalah PKS.

"Malah pelan induk yang disediakan kerajaan untuk PKS bertujuan mendorong pertumbuhan melalui inovasi dan penyesuaian teknologi. Kemudahan seperti e-pembayaran, urus niaga tanpa tunai dan  jualan berasaskan kod QR memberikan pendekatan baharu kepada perniagaan mereka," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Ekspo Fintech Malaysia 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Dr Halim Shafie; Presiden Persatuan Usahawan Dinamik (PUD), Datuk Rosthman Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Abdul Hamid.

Ekspo dua hari berakhir esok itu adalah anjuran PUD. Akhbar BH serta New Straits Times (NST) adalah rakan media ekspo berkenaan.

Salleh berkata, pada masa sama hubungan baik antara negara serantau dan antarabangsa, turut membolehkan PKS berkembang pada kadar lebih cepat dengan pelanggan merentasi sempadan.

"Dengan perkembangan Revolusi Perindustrian ke-4, ekonomi digital perlu digunakan sebaik mungkin dan dengan pantas seiring dengan kemajuan teknologi," katanya.

Selain itu katanya, Malaysia memerlukan sektor kewangan yang merangkumi kepelbagaian tawaran daripada kemudahan teknologi digital untuk menyediakan perkhidmatan lebih kompetitif kepada pengguna serta syarikat.

Sementara itu, Ekspo Fintech diadakan bagi memberi pendedahan dan peluang kepada mereka yang berminat mengenai sektor baharu muncul.

Ekspo yang menawarkan kemasukan percuma itu turut disertai 40 syarikat daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat Fintech dan syarikat teknologi. Ia menyasarkan kira-kira 3,000 pengunjung.

Berita Harian X