Khamis, 25 Januari 2018 | 2:34pm

Jumlah perdagangan Malaysia cecah RM156.01 bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2018 melonjak 14.9 peratus kepada RM156.01 bilion berbanding Januari 2017, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata pertumbuhan perdagangan direkodkan dengan ASEAN, Hong Kong, Kesatuan Eropah (EU), China, India, Taiwan dan Korea Selatan.

"Eksport merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import, dengan pertumbuhan dua digit pada 17.9 peratus kepada RM82.86 bilion.

"Ini eksport bulan Januari tertinggi dicatatkan setakat ini, mengatasi RM70.27 bilion direkodkan pada Januari 2017," menurut MITI dalam laporan perangkaan perdagangan luar Malaysia yang dikeluarkannya hari ini.

MITI berkata sementara itu import berkembang 11.6 peratus kepada RM73.15 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM9.71 bilion.

Lebihan dagangan ini adalah yang ke-243 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.

"Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 3.0 peratus, 4.4 peratus dan 1.5 peratus," menurutnya.

MITI berkata, prestasi eksport yang kukuh pada Januari 2018 dipacu oleh pertumbuhan eksport semua sektor utama dengan eksport barangan perkilangan merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 20.4 peratus manakala hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing berkembang 8.5 peratus dan 6.2 peratus.

Pada Januari 2018, eksport barangan perkilangan bernilai RM68.34 bilion, merangkumi 82.5 peratusdaripada jumlah eksport Malaysia, menurut kementerian itu.

Penyumbang utama kepada peningkatan itu ialah barangan elektrik dan elektronik yang meningkat​​​​​​​ 27.1 peratus; kimia dan bahan kimia (+23.4 peratus); barangan besi dan keluli (+60.9 peratus); barangan optik dan saintifik (+18 peratus); barangan perkilangan logam (+14.8 peratus) serta kelengkapan pengangkutan (+32 peratus).

MITI berkata, eksport hasil galian berkembang 8.5 peratus kepada RM7.25 bilion disumbangkan terutama oleh pertumbuhan eksport gas asli cecair berikutan kenaikan nilai unit purata dan kuantiti.

"Eksport keluaran pertanian naik 6.2 peratus kepada RM6.51 bilion didorong kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport minyak sawit meningkat 10.1 peratus​​​​​​​ kepada RM3.92 bilion berikutan kenaikan kuantiti," menurutnya.

Sementara itu, import pada Januari 2018 meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun kepada RM73.15 bilion berbanding RM65.53 bilion pada Januari 2017.

-BERNAMA

Berita Harian X