Selasa, 23 Januari 2018 | 3:08pm
DR Zakariah Abdul Rashid. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

MIER unjur pertumbuhan 5.4 peratus

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang 5.4 peratus pada 2018, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang diunjur berkembang 5.2 peratus, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata kedua-dua pengguna dan pengeluar daripada sektor swasta dijangka terus menyediakan dorongan bagi permintaan domestik tahun ini.

"Permintaan luaran juga dijangka kekal kukuh, sungguhpun kadar pertumbuhan bagi kedua-dua eksport dan import diunjurkan lebih rendah disebabkan kesan asas pertumbuhan tinggi yang direalisasikan tahun lalu," katanya pada sidang media berhubung Tinjauan Ekonomi Malaysia Suku Keempat, di sini hari ini.

Zakariah berkata, MIER menyemak naik KDNK 2017 kepada 5.6 peratus, mewakili peningkatan 0.8 peratus, daripada unjuran sebelum ini.

Beliau berkata, semak naik itu disandarkan kepada permintaan domestik yang lebih pantas daripada jangkaan, selain daya tahan aktiviti pembuatan yang ditunjukkan pertumbuhan dalam indeks pengeluaran perindustrian, disokong pertumbuhan dua angka dalam eksport.

"Tiga suku pertama 2017 menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan dengan KDNK sebenar berkembang masing-masing sebanyak 5.6 peratus, 5.8 peratus dan 6.2 peratus.

"Sementara suku keempat dijangka menyederhana kepada di bawah lima peratus disebabkan garis asas yang lebih kukuh dicatatkan bulan sebelumnya," katanya.

Berhubung inflasi, Zakariah berkata, ia dianggarkan menyederhana kepada 3.5 peratus pada 2018 daripada anggaran 3.8 peratus pada 2017.

Bagaimanapun, katanya normalisasi dasar monetari agresif yang tidak dijangka, pertumbuhan di China yang lebih perlahan dan pilihan raya umum adalah antara faktor memberi risiko kepada unjuran pertumbuhan bagi 2018.

Berhubung ringgit, Zakariah berkata sungguhpun mata wang tempatan mengukuh kepada RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), ia masih di bawah nilai sebenar. - BERNAMA

Berita Harian X