Rabu, 17 Januari 2018 | 7:08pm
ABANG Johari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Mou Kerjasama Pembangunan Petroleum Antara PETROS, Petrotel dan SSE di Muscat, Oman.

Sarawak, Oman teroka kerjasama petroleum, pembangunan tenaga

KUCHING: Sarawak meneroka kerjasama sektor hiliran industri minyak dan gas antarabangsa melalui dua memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama Petrotel Energy Oman (Petrotel) di Muscat, hari ini.

Ia bertujuan membuka laluan usaha sama dalam sektor minyak dan gas negeri, seiring kedudukan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara.

MoU pertama ditandatangani PTO, pemilik hak penerokaan dan pengeluaran sumber petroleum Oman, bersama South Sea Energy (SSE) yang memiliki kepentingan kerajaan negeri.

MoU kedua ditandatangani antara Petroleum Sarawak (PETROS), syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan Sarawak yang baru ditubuhkan, bersama SSE dan Petrotel.

PETROS diwakili Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo, manakala SSE diwakili Presidennya, Lily Chin dan Petrotel diwakili Pengerusi merangkap Ketua Eksekutifnya, Dr Anil Chopra.

Ia turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang ketika ini mengetuai misi pelaburan dan perdagangan negeri ke Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Abang Johari berkata, projek kerjasama itu membabitkan peluang usaha sama membangunkan sektor hiliran dalam industri minyak dan gas yang juga antara matlamat utama PETROS ditubuhkan.

Beliau yang turut bertanggungjawab terhadap portfolio pengurusan sumber petroleum negeri menjelaskan usaha sama berkenaan tentunya memberi impak positif terhadap pemain industri minyak dan gas dalam kalangan anak tempatan.

"Kita yakin Oman dan Sarawak dapat bekerjasama untuk manfaat bersama dengan mengambil kira masa depan yang cerah untuk produk petrokimia berdasarkan trend peralihan daripada enjin bahan bakar kepada kereta elektrik, selari dengan inisiatif industri 4.0 dan ekonomi digital.

"Oman dan Sarawak mempunyai beberapa persamaan dari segi demografi dan sebagai negara pengeluar minyak yang akan meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua ekonomi," katanya dalam satu kenyataan dari Muscat.

Terdahulu, Abang Johari mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Minyak dan Gas Oman, Dr Mohammed Hamad Al Rumhi di pejabatnya.

Beliau turut diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Berita Harian X