Selasa, 16 Januari 2018 | 6:12pm
SEBAHAGIAN peneroka FELDA membuat bantahan terhadap larangan minyak sawit oleh EU di Menara Tan & Tan, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Cadangan EU jejaskan pekebun kecil kelapa sawit

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyifatkan cadangan pengharaman Biobahan Api Berasaskan Minyak sawit di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) oleh Parlimen Kesatuan Eropah (EU), sebagai usaha memperkenalkan 'Aparteid Tanaman' terhadap 650,000 pekebun kecil sawit negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata cadangan itu tidak adil kerana pesaing minyak sayuran lain akan terus dibenarkan untuk digunakan di bawah RED, manakala minyak sawit akan dikecualikan menjelang tahun 2021.

Siew Keong berkata, kerajaan juga mengambil maklum perhimpunan aman oleh pekebun kecil kelapa sawit Malaysia yang membantah cadangan pengharaman itu.

"Bantahan ini bukti jelas kepada Parlimen Kesatuan Eropah (termasuk Majlis Kesatuan Eropah) dan Presiden Kesatuan Eropah bahawa pekebun kecil Malaysia tidak berpuas hati dan tertindas dengan cadangan berkenaan.

"Cadangan ini bakal mengancam kebajikan para pekebun kecil dan bertentangan dengan usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan negara.

"Ini adalah diskriminasi yang jelas... Saya menyeru pihak EU untuk berhenti melakukan diskriminasi terhadap sektor kelapa sawit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siew Keong berkata, Malaysia akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi kebajikan lebih daripada 3.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung hidup dengan sektor kelapa sawit.

Beliau berkata, kerajaan ingin mengingatkan rakan EU bahawa minyak sawit Malaysia memenuhi piawaian kemampanan yang ketat dan berupaya untuk mendapatkan pensijilan daripada Skim Pensijilan Mampan Eropah terkemuka termasuklah daripada German ISCC (Pensijilan Karbon dan Kemampanan Antarabangsa).

32 dibaca
Berita Harian X