Selasa, 19 Disember 2017 | 7:32pm
PENGERUSI Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Rustam (tengah) bersama Naib Presiden Persatuan Industri Muzik Malaysia, Mohd Fariz Ahmad (tengah empat kiri) serta sebahagian artis bergambar pada sesi penerangan pembiayaan perniagaan PUNB untuk insan seni di Dewan PUNB, Plaza Sentral. - Foto Luqman Hakim Zubir

PUNB sedia pembiayaan RM200 juta 2018

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan pembiayaan RM200 juta tahun depan, dengan tumpuan kepada pembangunan lebih banyak syarikat Bumiputera dalam sektor halal dan ekonomi digital.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata peruntukan itu disasar disalurkan kepada kira-kira 500 usahawan sepanjang 2018.

"Pada masa sama, kita memberi sokongan kepada generasi muda yang mahu menceburi bidang perniagaan.

"Tumpuan kepada pembangunan industri halal berikutan permintaan tinggi khususnya dari luar negara, manakala ekonomi digital adalah masa depan industri Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Penerangan Pembiayaan Perniagaan PUNB Untuk Insan Seni di sini hari ini.

Sehingga 30 November lalu, katanya, PUNB sudah meluluskan pembiayaan kepada 459 syarikat dan perniagaan dengan jumlah lebih RM177 juta, membabitkan 631 usahawan secara keseluruhan.

Katanya, lima sektor utama dikuasai usahawan Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah makanan dan minuman (29 peratus), perkhidmatan kejuruteraan dan servis (21.6 peratus), produk berasaskan logam (17.2 peratus), elektronik dan elektrik (16.6) peratus dan produk pengguna (15.4 peratus).

Beliau berkata, lima sektor utama dikuasai usahawan skim Prosper pula adalah pakaian, tekstil dan aksesori (24.2 peratus), automotif (22.9 peratus), makanan dan minuman (20.4 peratus), kedai runcit (17.1 peratus) serta perkakasan dan kejuruteraan (15.1 peratus).

Berita Harian X