Jumaat, 15 Disember 2017 | 6:22pm
PENGARAH Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), Akira Kajita (kanan) dan Atase Komersial Kedutaan Jepun di Malaysia, Sosuke Tanaka. - Foto BERNAMA

Jepun tumpu sektor perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Jepun bercadang menambah pelaburan dalam sektor perkhidmatan di Malaysia, termasuk industri pengguna dan teknologi maklumat (IT).

Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), Akira Kajita, berkata bidang pertumbuhan baharu dalam perniagaan ke pengguna akan menjadi faktor pemacu bagi pertumbuhan pelaburan Jepun di Malaysia.

Kajita berkata, Malaysia yang menjadi penggiat utama pasaran IT dalam kalangan anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), mempunyai potensi besar untuk syarikat Jepun.

Beliau berkata, Malaysia adalah rakan kongsi terbaik untuk syarikat Jepun berkembang ke rantau ASEAN dengan menggunakan kepakaran negara ini dalam dalam sektor IT.

"Jetro, pertubuhan berkaitan kerajaan yang menggalak perdagangan dan pelaburan, berharap untuk menganjur beberapa acara di negara ASEAN, di samping memupuk kerjasama perniagaan dalam kalangan usahawan dan pemula niaga.

"Pemula niaga Jepun boleh bekerjasama dengan agensi utama yang menggalak ekonomi digital seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta kedutaan Jepun dan Jetro, ke arah pembangunan Industri 4.0 dan Internet Perkara ," katanya.

Kajita berkata, pengetahuan meluas MDEC mengenai pasaran Malaysia dan rangkaian pemula niaga tempatan menyokong Jetro untuk acara perangkaian semalam bagi membolehkan pemula niaga Malaysia dalam industri IT untuk mengembangkan perniagaan dengan syarikat Jepun.

Beliau berkata, Jetro melancarkan beberapa acara pembentangan pemula niaga ASEAN di Bangkok, Jakarta dan Manila tahun ini bagi memupuk industri baharu dan mewujudkan platform untuk negara ASEAN dan Jepun bertemu rakan kongsi perniagaan yang berpotensi serta mengembangkan pelaburan.

Untuk menggalak pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, Kajita berkata, pelabur Jepun berharap untuk pertumbuhan ekonomi yang mantap dan dasar kerajaan yang stabil sebagai kriteria penting dalam keputusan pelaburan mereka.

Atase Komersial Kedutaan Jepun di Malaysia, Sosuke Tanaka, berkata pelabur mengharapkan perniagaan jangka panjang di Malaysia sebagai kriteria penting dalam keputusan pelaburan.

Katanya, kestabilan perniagaan adalah penting, di samping sokongan serta dasar kerajaan.

Tanaka berkata, industri IT adalah arah baharu pelaburan Jepun di Malaysia, manakala sektor pembuatan, elektrik dan elektronik dan kenderaan bermotor sentiasa menjadi pelaburan tradisional utama.

Jepun terus menjadi sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia dalam sektor perkilangan sejak 1980.

Setakat 2016, sejumlah 2,621 projek perkilangan dengan penyertaan dari Jepun telah dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak RM88.5 bilion dan menghasilkan 343,281 pekerjaan.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia telah meluluskan tambahan 16 projek pembuatan dari Jepun dengan pelaburan sebanyak RM559 juta.

Projek terbabit adalah di Johor, Melaka, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. - BERNAMA

Berita Harian X