Khamis, 14 Disember 2017 | 7:10pm
Pengarah Urusan Bioalpha Holdings Bhd (Bioalpha), William Hon.

Bioalpha lancar produk baharu di China

KUALA LUMPUR: Bioalpha Holdings Bhd (Bioalpha) melancarkan siri makanan kesihatan tambahan baharu di China, dalam usaha meluaskan pengaruhnya di negara berkenaan.

Pengarah Urusannya, William Hon, berkata produk yang dilancarkan itu merangkumi makanan tambahan untuk meningkatkan imuniti, estetika, anti-penuaan dan pelansingan, minuman teh dan kopi herba asli dari Asia Tenggara.

Katanya, produk yang mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu disasar memenuhi keperluan penduduk di wilayah majoriti Islam di Xinjiang, Qinghai, Shaanxi dan Gansu.

"Penduduk Islam di China dianggar 25 juta dengan Xinjiang memiliki kependudukan tertinggi iaitu 13 juta penduduk Islam.

"Pelancaran produk baharu ini mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan kehadiran di China.

"Setakat ini, pelan pengembangan kami berada di landasan tepat dengan pengeluaran produk baharu pada separuh kedua tahun ini.

"Kami yakin produk ini akan diterima dengan baik oleh pasaran sasaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

William berkata, bagi meneruskan peningkatan jualan eksport, Bioalpha melihat Xinjiang sebagai hab menembusi negara jiran yang memiliki penduduk Islam seperti Mongolia, India, Kazakhstan dan Pakistan.

"Baru-baru ini, kami menghantar kumpulan pertama makanan kesihatan tambahan ke Inner, Mongolia. Kami yakin dengan prospek perniagaan untuk masa depan dan percaya jualan eksport akan terus berkembang pada kadar dua angka," katanya.

Info:

* Bioalpha Holdings Bhd disenaraikan di Pasaran ACE di Bursa Malaysia.

Berita Harian X