Rabu, 13 Disember 2017 | 9:27pm
PENGARAH Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Cheong Chia Chou. - Foto NSTP

PUC lancar platform pemasaran sosial Presto

KUALA LUMPUR: PUC Bhd melancarkan Presto, iaitu platform pemasaran sosial tempatan dan e-dompet yang menawarkan pengalaman beli-belah unik bagi rakyat negara ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Cheong Chia Chou berkata platform itu menawarkan penjimatan untuk pembeli menerusi insentif pulangan tunai yang dapat membantu penjual melonjakkan kehadiran jenama masing-masing serta jualan kepada lebih ramai pelanggan.

"Presto memastikan kedua-dua pihak pembeli dan penjual dapat menikmati ganjaran pulangan tunai itu dan pada masa sama meningkatkan jualan pada harga yang disenangi oleh pelanggan.

"Kami menyasarkan untuk merevolusi cara membeli-belah dan membangunkan perniagaan yang seiring dengan masa depan digital," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran platform itu di sini, hari ini.

Cheong berkata, walaupun penjual boleh mendaftar secara percuma dengan Presto, platform itu mengenakan bayaran transaksi asas 5.0 peratus untuk setiap produk terjual dengan bayaran tambahan pemasaran di bawah skim berkaitan.

"Tidak seperti platform pemasaran sosial lain, Presto tidak mempunyai sebarang diskaun tetap. Ini bermakna penjual boleh memilih untuk tidak memberi sebarang diskaun sehinggalah sasaran jualan mereka dicapai," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan e-dompet Presto yang disasarkan pada 2018 selepas memperoleh lesen bagi skim e-duit daripada pihak Bank Negara Malaysia pada September lalu.

-- Bernama

Berita Harian X