Selasa, 7 November 2017 | 12:08pm

Shopee tawar barangan serendah RM11

 

KUALA LUMPUR: Peneraju platform e-dagang, Shopee memulakan jualan akhir tahunnya dengan pelancaran Jualan Murah Super 11.11 yang menawarkan lebih 100,000 produk kepada pengguna pada diskaun berganda sehingga 90 peratus.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata acara yang bermula Rabu lalu hingga 11 November ini adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran Hari Beli-Belah Dalam Talian 9.9 oleh platform e-dagang berkenaan.

Katanya, penganjuran Hari Beli-Belah Dalam Talian 9.9 baru-baru ini, mendapat maklum balas memberangsangkan apabila Shopee menerima tiga kali ganda tempahan dan peningkatan lima kali ganda pelayar laman e-dagang terbabit dalam tempoh 24 jam.

"Dengan sokongan memberangsangkan daripada pengguna, kami berbesar hati melancarkan Jualan Murah Super dan kali ini menampilkan lebih 3,000 jenama dan usahawan pilihan.

"Pelbagai barangan ditawarkan pada harga terbaik serendah RM11, penghantaran percuma dan pelbagai hadiah menarik setiap hari dengan sokongan jenama besar seperti Petronas, Digi dan Watsons, selain rakan rasmi kami termasuk Ambank, CIMB, Maybank, Public Bank dan RHB.

"Selain tawaran harga serendah RM11, Jualan Murah Super 11.11 turut menawarkan tawaran 24 jam tanpa henti, potongan harga jenama terkenal dan pelbagai lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Ian berkata, sekiranya mana-mana pelanggan terjumpa produk yang sama dijual pada harga yang lebih rendah di platform lain, Shopee akan memberi ganti rugi 120 peratus perbezaan harga terbabit.

Bermula Rabu lalu hingga Sabtu ini, pengguna boleh melihat siri diskaun, termasuk tiga pusingan Jualan Mengejutkan setiap hari dan permainan 'Spin to Win' dengan tawaran pelbagai jenis hadiah bernilai sehingga RM300,000 untuk dimenangi setiap hari.

"Jualan Murah Super 11.11 adalah masa yang sesuai untuk pengguna mengambil kesempatan berbelanja dengan tawaran diskaun yang menarik. Kami berharap semua pengguna dapat bersama Shopee dalam jualan mega hujung tahun yang sensasi ini," katanya.

Mengenai pengumuman Bajet 2018, baru-baru ini, yang menggariskan e-dagang sebagai pemacu utama ke arah usaha Malaysia melakukan peralihan kepada ekonomi digital sepenuhnya, Shopee komited menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membina perniagaan e-dagang melalui komisen sifar, penghantaran percuma ke seluruh negara serta kempen untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Sementara itu, Ketua iTelco Digi, How Lih Ren, berkata pihaknya berbesar hati dapat bersama Shopee menjayakan Jualan Murah Super 11.11 sebagai rakan rasmi.

"Hujung tahun adalah waktu orang ramai berbelanja seperti membeli barangan baharu sama ada untuk persediaan menyambut tahun baharu atau sebagai hadiah. Inisiatif Shopee menganjurkan acara ini secara dalam talian amat dibanggakan dalam memudahkan orang ramai membeli-belah dengan lebih mudah," katanya.

 

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran hebat daripada Shopee ini boleh melayari pautan https://shp.ee/czg3dfp atau memuat turun aplikasi Shopee menerusi https://shp.ee/cuhzdyf

17 dibaca
Berita Harian X