Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:49pm

Aliran masuk dana luar perkukuh ringgit

RINGGIT serta kebanyakan mata wang utama dan serantau mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lapan bulan pertama 2017.

Peningkatan ringgit didorong oleh kemasukan semula aliran dana bukan pemastautin ke pasaran kewangan Malaysia berikutan keadaan makroekonomi domestik yang menggalakkan.

Selain itu, langkah yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) pada Disember 2016 dan April 2017 turut menyokong sentimen ringgit yang positif.

Antara langkah yang telah diumumkan adalah menggalakkan lindung nilai pertukaran mata wang asing dalam pasaran domestik dan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).

Langkah lain yang turut dilaksanakan adalah keperluan penukaran hasil eksport daripada mata wang asing kepada ringgit serta peningkatan liberalisasi pasaran bon.

Dari Januari hingga akhir Ogos 2017, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 5.1 peratus berbanding dolar AS.

Monetari sokong pertumbuhan

Dasar monetari pada tahun 2017 pula terus memberi tumpuan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mapan di samping mengekalkan kestabilan harga.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.00 peratus dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) pada 3.50 peratus.

Pada kadar semasa OPR, dasar monetari yang akomodatif diteruskan untuk mengimbangi risiko pertumbuhan domestik dan jangkaan inflasi.

Pada 2017, inflasi dijangka pada kadar tiga peratus hingga empat peratus dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan antara 5.2 peratus hingga 5.7 peratus.

Berita Harian X