Khamis, 19 Oktober 2017 | 4:27pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menikmati keropok yang dijual ketika mengadakan tinjauan mesra Karnival Usahawan Desa (KUD) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto BERNAMA

Produk usahawan desa di pasar raya masih kurang

KUALA LUMPUR: Hanya 15 peratus produk usahawan desa berjaya menembusi pasar raya besar, jauh daripada sasaran 30 peratus ditetapkan kerajaan kerana tidak memenuhi tiga syarat iaitu pembungkusan, kualiti dan jaminan bekalan berterusan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, selain kelemahan pembungkusan, banyak juga produk yang tidak menepati kehendak pasar raya termasuk tiada maklumat kandungan makanan atau minuman dalam aspek kesihatan dan nutrisi, dan tiada label logo halal.

Katanya, bersempena Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017 kementeriannya bukan saja memperkenalkan 732 usahawan desa, malah membawa bersama-sama wakil pengurusan pasar raya besar untuk meninjau produk dipamerkan.

Beliau berkata, produk usahawan dipamerkan juga melalui saringan ketat bagi memastikan hanya produk menepati piawaian ditetapkan dipamerkan, sekaligus memudahkan wakil pasar raya memilih produk terbaik dan menepati kehendak pasaran.

"Saya lihat banyak produk usahawan desa yang berpotensi bukan saja menembusi pasar raya tempatan, malah mampu menembusi pasaran global jika menepati piawaian ditetapkan. Madu lebah misalnya yang kebanyakannya diimport dari Australia, bagi saya produk madu lebah kita jauh lebih baik dan lebih segar daripada produk madu lebah negara terbabit.

"Ada produk bertaraf antarabangsa, tetapi maklumat mengenainya hanya dalam bahasa Malaysia yang menyukarkan menembusi pasaran global kerana tidak menepati syarat ditetapkan pengimport.

"Sepatutnya disertakan penerangan misalnya dalam bahasa Inggeris untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, bahasa Arab untuk Asia Barat dan Mandarin untuk eksport ke China," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat tapak Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017), anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Karnival dwitahunan berlangsung empat hari mulai hari ini dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

KUD 2017 yang bertemakan 'Usahawan Desa Produk Global' akan memberi tumpuan khusus kepada usaha memperluaskan akses pasaran produk atau perkhidmatan luar bandar ke bandar, seterusnya ke pasaran global.

Ismail Sabri berkata, berbeza karnival 2015, kali ini kementerian memperkenalkan 'Trade Day' iaitu platform jaringan perniagaan antara pihak industri bersama-sama pasar raya besar, pemasar dan pembeli dengan usahawan, selain kegiatan perniagaan ke perniagaan (B2B) bagi membantu usahawan menyertai KUD 2017 memperoleh sekurang-kurangnya tiga jaringan perniagaan yang bukan tertumpu pada hasil jualan semata-mata.

"Selepas membawa produk usahawan ke pasar raya besar, kita akan memperluaskan lagi pasaran termasuk membawa usahawan berpotensi ke karnival dan ekspo luar negara, bagi memastikan produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.

16 dibaca
Berita Harian X