Selasa, 17 Oktober 2017 | 9:06pm

Lembaga Pengarah Malaysia Airlines adakan mesyuarat tergempar

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Malaysia Airlines Bhd akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berhubung Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew.

Malaysia Airlines berkata, pihaknya mengambil perhatian berhubung pengumuman tidak dijangka yang dibuat RyanAir Holdings PLC kepada Bursa Saham London, hari ini, yang mana Bellew dikatakan akan meninggalkan Malaysia Airlines untuk kembali menyertai syarikat penerbangan tambang rendah Ireland itu, berkuat kuasa 1 Disember.

"Lembaga Pengarah akan mengadakan perjumpaan dalam tempoh terdekat dan satu pengumuman akan menyusuli selepas itu.

"Operasi dan perkhidmatan kami berjalan seperti biasa. Komitmen dan keutamaan kami kekal dengan pelanggan.

"Pemulihan Malaysia Airlines kekal di landasan dan berjalan mengikut jadual, sebagaimana tertera dalam Pelan Pemulihan MAS," demikian menurut kenyataan ringkas Malaysia Airlines yang dikeluarkan, malam tadi.

Pada sidang media yang dihadiri media tempatan Malaysia dan antarabangsa 27 September lalu, Bellew berkata, beliau gembira berada di Malaysia dan pemulihan Malaysia Airlines disifatkannya bakal menjadi "pencapaian terhebat dalam hidup saya".

Pada sidang media sama, BH Online memetik Bellew sebagai berkata "matlamat saya di sini jelas, iaitu memulihkan syarikat penerbangan nasional negara ini kembali menjadi kebanggaan rakyatnya", sekali gus menafikan spekulasi beliau akan kembali ke Ryanair.

Malaysia Airlines menyaksikan banyak perubahan positif sejak Bellew menerajui syarikat penerbangan negara itu, yang mana ia dijangka kembali mencatat keuntungan pada separuh kedua 2018.

Dua nama disebut-sebut akan dipertimbangkan untuk menggantikan tempat Bellew seandainya pemergian beliau disahkan nanti.

Dua nama itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan Malaysian Airlines, Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

Ryanair dalam kenyataannya hari ini menyebut, Bellew akan kembali menyertai Ryanair sebagai ketua pegawai operasi dan bertanggungjawab bagi semua operasi penerbangan, darat serta kejuruteraan Ryanair.

12 dibaca
Berita Harian X