Ahad, 1 Oktober 2017 | 2:53pm
PENGERUSI Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam. - Foto Malai Rosmah Tuah

Buka dua lagi pejabat cawangan

KOTA KINABALU: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan membuka dua lagi cawangannya di Sabah, iaitu di Inanam dan Tawau.

Pejabat cawangan di Inanam akan beroperasi pada November ini manakala di Tawau pada Januari, dengan masing-masing menempatkan 10 pekerja.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata pembukaan lebih banyak cawangan itu akan memudahkan usahawan mendapat maklumat mengenai skim pembiayaan PUNB.

Beliau berkata, pembukaan pejabat baharu itu selaras dengan matlamat PUNB yang menyasarkan sebanyak RM100 juta pinjaman PUNB kepada usahawan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun depan.

"Pada masa ini, skim pinjaman PUNB kepada usahawan di Sabah hanya RM48 juta daripada RM2.7 bilion untuk seluruh negara. Kita mahu mempertingkatkan pembiayaan kita kepada usahawan di negeri ini.

"Kita berharap dengan pembukaan dua pejabat cawangan yang baharu ini, lebih ramai usahawan khususnya wanita akan mengambil peluang untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada PUNB," katanya dalam sidang media selepas Program PROSPERNITA PUNB 2017 di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah PUNB yang juga Pengerusi Program PROSPERNITA PUNB, Datuk Jamelah A Bakar dan Pengerusi Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah, Dayang Khatijah Datu Bactiyal.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya berkata, lebih ramai usahawan di negeri ini khususnya wanita mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh PUNB bagi meningkatkan perniagaan mereka.

"Jika mahu maju, kita kena rajin hadir dalam apa juga seminar, kursus atau bengkel perniagaan yang dianjurkan mana-mana pihak termasuk PUNB. Jika kita malas, kita tidak akan ke mana-mana.

"Saya berharap usahawan wanita akan mengambil peluang untuk mengambil sepenuhnya peluang dalam program anjuran PUNB ini bagi meningkatkan lagi perniagaan mereka," katanya.

INFO

Pejabat PUNB di UTC Kota Kinabalu

Berita Harian X