Rabu, 11 Disember 2019 | 8:14am

Untung Q2 Bermaz Auto merosot

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bermaz Auto Bhd bagi suku kedua (Q2) berakhir 31 Oktober 2019, merosot kepada RM20.39 juta daripada RM73.92 juta suku sama tahun lalu.

Perolehan pengedar utama kenderaan jenama Mazda di negara itu susut kepada RM457.17 juta daripada RM690.32 juta sebelum ini, sebahagian besarnya disebabkan jumlah jualan yang rendah daripada operasi domestik, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bermaz Auto berkata, jumlah jualan yang rendah dicatatkan dalam tempoh dikaji berikutan jangkaan permintaan yang berkurangan terhadap model CX-5 yang dihentikan untuk model CX-5 berwajah baharu yang dilancarkan pada 30 September 2019.

“Kelewatan penghantaran beberapa unit CX-5 berwajah baharu dan CX-8 serba baharu, masing-masing dilancarkan pada akhir September 2019 dan awal Oktober 2019, disebabkan resolusi isu harga tertentu.

“Sehubungan itu, tiada jualan bagi kenderaan CX-8 pada suku tahun itu yang akhirnya menjejaskan pemulihan yang dijangka daripada jualan unit yang rendah dicatatkan pada Ogos dan September 2019,” katanya.

Berkaitan prospek, Bermaz Auto menjangka prestasi kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2020 akan terus memuaskan.

Berita Harian X