Jumaat, 29 November 2019 | 5:52pm
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Izham Ismail. Nstp/Rohanis Shukri.

Malaysia Airlines, Turkish Airlines laksana perkongsian kod

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjalin usaha sama perkongsian kod dengan Turkish Airlines bagi membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan meneroka pasaran baharu dan menawarkan lebih banyak opsyen perjalanan kepada penumpang.

Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, perjanjian akan menyediakan peluang perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang, yang selama ini telah dibawa menerusi kerjasama komersial sedia ada antara dua syarikat penerbangan itu sejak 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Izham Ismail, berkata pilihan pelanggan sangat penting bagi Malaysia Airlines, dan perjanjian perkongsian kos ini akan meningkatkan lagi pilihan yang diberikan kepada pelanggan.

“Perkongsian kod ini juga akan membolehkan penumpang terbang ke bandar-bandar utama di Turki, sekali gus menyediakan akses perjalanan yang lebih banyak kepada mereka.

“Ini membuka peluang untuk lebih ramai pelancong meneroka Malaysia, sebagai antara destinasi percutian utama di Asia Pasifik. Kami berharap dapat memperluas lagi hospitaliti Malaysia dengan semua yang terbang bersama kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan dan Teknologi Turki, Ahmet Bolat, berkata inisiatif penting yang mewujudkan persekitaran kerja yang lebih rapat dengan Malaysia Airlines ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat dan rakyat kedua-dua negara.

“Menerusi perjanjian yang kami meterai ini, kami juga komited untuk menyediakan penumpang dengan pilihan sambungan yang lebih baik dan meningkatkan pengalaman penumpang untuk menikmati dimensi yang lebih selesa,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, Turkish Airlines akan menawarkan destinasi baharu di Malaysia dan Australia sebagai syarikat penerbangan pemasaran dalam penerbangan Malaysia Airlines, dan pada masa yang sama Malaysia Airlines akan sampai ke destinasi domestik Turki.

Menerusi skop kerjasama perkongsian kos ini, Turkish Airlines akan meletakkan kod pemasaran dan nombor penerbangannya Malaysia Airlines Brisbane (BNE), Adelaide (ADL), Melbourne (MEL), Perth (PER), Sydney (SYD), Auckland (AKL ) serta 12 penerbangan domestik Malaysia dari Kuala Lumpur.

Malaysia Airlines pula akan meletakkan kod pemasaran dan nombor penerbangan di laluan utama (Kuala Lumpur-Istanbul) dan Ankara (ESB), Antalya (AYT), İzmir (ADB) yang dikendalikan oleh Turkish Airlines. – Bernama

Berita Harian X