Rabu, 6 November 2019 | 4:02pm
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan F&N, Lai Kah Shen menunjukkan produk baharu keluaran F&N. - NSTP/Nik Hariff Hassan

F&N sedia belanja modal RM450 juta tahun depan

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) memperuntukkan RM450 juta untuk perbelanjaan modal pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata peruntukan itu adalah peningkatan yang ketara berbanding perbelanjaan modal hanya RM30 juta untuk 2019.

“Kami akan gunakannya untuk pengambilalihan tanah (di Chuping) yang bernilai RM156 juta, gudang bersepadu di Shah Alam (RM180 juta), pelaburan di Thailand dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai keputusan kewangan syarikat untuk 2019 di sini, hari ini.

Pada tahun kewangan yang berakhir 30 September 2019, F&N mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 5.3 peratus kepada RM4.08 bilion daripada RM3.87 bilion yang dicatatkan pada 2018.

Kumpulan itu juga telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai tertinggi sebanyak RM533 juta, kenaikan 25.7 peratus daripada RM424.1 juta pada 2018.

Yew Hoe berkata, pasaran makanan dan minuman (F&B) tempatan keseluruhannya akan terus mencabar di tengah-tengah tekanan persaingan yang berterusan dalam segmen susu dalam tin dan minuman sedia diminum.

Beliau menjangkakan, pelancaran produk baharu dengan inovasi yang kukuh, seperti minuman jus dan tiub teapot, akan mendorong pertumbuhan tahun depan dengan sumbangan sebanyak satu pertiga.

Bagi pasaran Thailand, beliau meramalkan operasi di negara jiran itu kekal positif memandangkan portfolio ekuiti jenama dan produk yang kukuh, disokong oleh rangkaian produk inovatif kumpulan.

“Kami percaya asas yang kukuh yang kami letakkan di masa lepas dan pelaburan dalam perbelanjaan jenama dan pelancaran produk baharu pada suku keempat 2019 akan terus memacu pertumbuhan kami di F&B Thailand,” katanya.

Mengenai eksport, Yew Hoe berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mendapatkan hasil eksport sebanyak RM800 juta pada tahun depan, peningkatan antara 17 hingga 18 peratus berbanding pada 2019.

Kira-kira RM100 juta hasil eksport dijangka diperolehi daripada rantau Asia Barat dan Afrika Selatan, berikutan pembinaan pejabatnya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijangka dapat disiapkan pada suku pertama tahun depan, katanya.

Mengenai projek ladang mega tenusu di Chuping, Yew Hoe berharap untuk mendapatkan kelulusan kawal selia dalam tempoh enam bulan akan datang untuk pemerolehan tanah pajakan seluas 4,454 hektar di negeri utara itu.

Projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan jumlah pelaburan sebanyak RM850 juta akan dibiayai oleh campuran dana dalaman, kemudahan bank dan kertas komersial.

Ladang itu, direka untuk menghasilkan 200 juta liter susu segar setiap tahun akan mengubah Malaysia menjadi pengeksport susu segar. - BERNAMA

Berita Harian X