Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:30pm

TNBES, MGTC rancang pasang 100 stesen ChargEV

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) dan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) merancang untuk memasang 100 stesen pengecas kenderaan elektrik (ChargEV) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga E mobility solutions Sdn Bhd, Noor Hafifi Jalal, berkata inisiatif hijau itu membabitkan pelaburan berjumlah RM1.5 juta, dengan beberapa lokasi terutama di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang akan menjadi tumpuan.

“Setakat ini, 14 ChargEV dipasang manakala 35 lagi menunggu kelulusan daripada pemilik premis sebelum pemasangan dibuat.

“TNBES dan MGTC giat berunding dengan pengendali, pusat beli-belah dan hotel untuk memperluas rangkaian stesen ChargEV ke bandar raya utama merangkumi Pulau Pinang di utara hingga ke selatan di Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran peluasan projek infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin bersempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM 2019).

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan serta Pengarah Urusan TNBES, Dr Ir Ahmad Jaafar Abd Hamid.

Tenaga E mobility solutions adalah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) TNBES yang diwujudkan bersama MGTC.

Sementara itu, Ahmad Jaafar berkata, Tenaga E mobility solutions akan memperluas potensi perniagaan pengecasan EV dan perniagaan berkaitan dengan mobiliti pintar pada masa akan datang.

“TNBES ialah sebuah entiti TNB, manakala MGTC pula adalah agensi kerajaan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh dimanfaatkan bagi memastikan kejayaan projek yang akan menjadi platform untuk memperluas penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia,” katanya.

Stesen pengecas ChargEV dibuka untuk kegunaan orang awam secara langganan, di mana pengguna boleh menggunakan ChargEV dengan membayar yuran keahlian RM240 setahun.

Berdasarkan tarif domestik 0.57 sen, kenderaan elektrik yang dicaj penuh dengan kos RM12.50 boleh dipandu sejauh 160 kilometer.

Model stesen pengecas ChargEV turut dipamerkan di IGEM 2019.

Berita Harian X