Isnin, 30 September 2019 | 5:33pm
CIMB Bank Bhd

CIMB terbit Bon SDG AS$680 juta

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd baru-baru ini membuat penetapan harga bagi Bon Matlamat Pembangunan Mampan Formosa & Reg S (Bon SDG) bernilai AS$680 juta.

Bon SDG CIMB itu adalah bon pertama seumpamanya yang dikeluarkan oleh penerbit Malaysia dan ASEAN dalam pasaran modal antarabangsa Reg S serta yang pertama dikeluarkan dalam pasaran Formosa, kata bank itu dalam satu kenyataan, hari ini.

“Bon SDG telah mendapat sambutan baik, sekali gus memaparkan aliran pelaburan dalam aset mampan global yang melonjak kepada AS$30 trilion pada 2018.

“Pihak bank melanggan lebih daripada 76 peratus Bon SDG itu manakala selebihnya dilanggani oleh firma sekuriti dan pengurus dana,” katanya.

Bon SDG itu - nota kadar terapung lima tahun dengan harganya ditetapkan pada tebaran 78 mata asas melebihi dolar Amerika Syarikat (AS) tiga bulan LIBOR (Kadar Tawaran Antara Bank London), akan dikeluarkan pada 9 Oktober 2019 di bawah Program Nota Jangka Sederhana AS$5 bilion euro sedia ada CIMB Bank.

Permohonan akan dibuat untuk menyenaraikan Bon SDG di Bursa Malaysia (Rejim Pengecualian), SGX-ST dan Taipei Exchange.

Bon SDG itu juga adalah satu lagi aspek komitmen CIMB Group terhadap komitmen bagi tujuan lestari iaitu antara teras utama strategi pertumbuhan CIMB, Forward23.

Sebagaimana disyaratkan dalam kerangka Bon SDG, CIMB Bank akan menyalurkan hasil bon itu kepada pelbagai sektor yang memberi kesan dan menyokong tujuh teras SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipilih khusus oleh CIMB Group.

Tujuh teras itu ialah Usaha Murni dan Pertumbuhan Ekonomi; Industri, Inovasi & Infrastruktur; Mengurangkan Ketaksamaan; Penggunaan & Pengeluaran Secara Bertanggungjawab; Tindakan Iklim; Kehidupan di Daratan dan Keamanan, Keadilan & Institusi Yang Kukuh.

-BERNAMA

Berita Harian X