Rabu, 18 September 2019 | 4:37pm
PENGASAS Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes. NSTP/Syarafiq Abd Samad

Tony Fernandes letak semua jawatan kecuali di AirAsia, AirAsia X

KUALA LUMPUR: Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes akan meletakkan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah dalam semua syarikat kecuali di AirAsia dan AirAsia X.

Dalam satu hantaran di akaun Twitter hari ini, Tony berkata keputusan yang dibuat olehnya itu adalah bagi membolehkan barisan pemimpin baharu dapat diketengahkan.

“Sebagai langkah pertama mengundurkan diri dan menggerakkan generasi berikutnya pemimpin @AirAsia ke hadapan, saya akan meletakkan jawatan dalam semua Lembaga Pengarah kecuali @AirAsia dan Airasia X,” katanya.

Selain AirAsia dan AirAsia X, Tony memegang jawatan dalam Lembaga Pengarah beberapa syarikat senaraian awam dan sendirian berhad, selain agensi kerajaan.

Beliau adalah Lembaga Pengarah Crescent Point Group, Caterham Cars Ltd, Tune Air Sdn Bhd, Tune Group, Tune Hotels Sdn Bhd, Loftus Road PLC, Tune Insurance Labuan Ltd, Capital OCA Bhd, Tune Money Sdn Bhd, Caterham Composites Ltd, Caterham Tech (M) Sdn Bhd, Dinato Racing Limited

dan Epsom College Malaysia Sdn Bhd.

Beliau juga menggotai Lembaga Pengarah dalam Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosikan pelancongan di Malaysia.

Pengumuman Tony itu dibuat ketika AirAsia sedang mula mengukuhkan kedudukannya dalam perniagaan digital bermula pada tahun ini.

Bulan lalu, AirAsia mengumumkan penyusunan semula kempimpinan bagi menyokong transformasi menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan, selain membina airasia.com menjadi jenama gaya hidup.

Tony akan bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) airasia.com, dengan tumpuan untuk melantik CEO baharu yang akan melapor terus kepadanya.

Sementara itu, Tony dalam beberapa hantaran Twitter awal tahun ini berkata, tumpuan AirAsia ketika ini juga adalah untuk menjadikan pasaran Indonesia dan Filipina lebih menguntungkan.

AirAsia juga akan memberikan tumpuan kepada pasaran India, Thailand, Vietnam serta Jepun.

Berita Harian X