Jumaat, 13 September 2019 | 3:35pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama Pengarah 1 Utama, Tan Sri Teo Chiang Kok (kanan) melancarkan ‘1Pay Digital E-Wallet and Online Shopping E-Commerce’ hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

1 Utama perintis pusat beli-belah tanpa tunai

PETALING JAYA: Pusat beli-belah 1 Utama, menerajui inovasi pembayaran tanpa tunai dengan memperkenalkan aplikasi e-dompet, 1PAY dan platform e-dagangnya, oneshop.com.my.

Pengarah 1 Utama, Tan Sri Teo Chiang Kok, berkata 1 Utama menjadi perintis dalam kalangan pusat beli-belah di Malaysia untuk membangunkan dan menawarkan platform e-dagang dan e-dompet bagi memacu menyokong usaha kerajaan dalam ekonomi digital, selain mentransformasikan landskap runcit ke arah digitalisasi.

“Peningkatan penggunaan telefon mudah alih dan media sosial mengubah cara hidup rakyat Malaysia ketika ini, jadi kita perlu mengadaptasi teknologi dan inovasi untuk kekal relevan berikutan perubahan demografik pelanggan kami.

“Platform e-dagang kami, oneshop.com.my memberi kami peluang untuk terus berkembang dan meluaskan aktiviti pemasaran terutama peningkatan penggunaan e-dagang di peringkat global serta digabungkan dengan pengalaman membeli-belah di stor,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian 1PAY dan oneshop.com.my di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

E-dompet 1PAY adalah penambahbaikan kepada program royalti sedia ada, ONCECARD Privileges+.

Dengan 1PAY, pengguna hanya perlu mengimbas dan membayar dengan e-dompet dan pada masa sama menikmati mata ganjaran ONECARD.

Perkhidmatan e-pembayaran ini lebih pantas dan selamat, dengan baki tunai mencecah RM1,500 maksimum.

Mengulas lanjut, Chiang Kok, berkata aplikasi mudah alih 1 Utama mula ditawarkan kepada pelanggan pada 2012.

“Sejajar dengan hala tuju Bank Negara untuk mewujudkan budaya tanpa tunai, kami melancarkan fasa kedua aplikasi mudah alih kami dengan mewujudkan pembayaran digital dan ciri e-dompet,” katanya.

Berita Harian X