Khamis, 12 September 2019 | 5:11pm

PETRONAS mula khidmat isi LNG kapal komersial

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan memulakan perkhidmatan pengisian bahan api cecair gas asli (LNG) untuk kegunaan kapal secara komersial pada 1 Januari 2020.

Langkah itu sejajar aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub pengisian bahan api LNG serantau.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, PETRONAS, Ahmad Adly Alias, berkata kejayaan RGT Pengerang menjalankan operasi pengisian bahan api LNG menerusi LNG Bunker Vessel (LBV) Kyros Oktober tahun lalu menunjukkan kesediaan syarikat memulakan aktiviti pengisian bahan api LNG untuk kapal.

Katanya, PETRONAS sudah pun memeterai perjanjian pembekalan dengan beberapa pelanggan, namun beliau enggan mengulasnya lebih lanjut kerana ia masih di peringkat awal.

"Kami masih berusaha membina kapasiti pembekalan. Menerusi kerjasama cabang perkapalan kumpulan iaitu MISC Bhd dan Avenir LNG Ltd, kami menyewakan LBV berkapasiti 7,500cbm yang akan mengambil bekalan bahan api LNG kami di RGT Sungai Udang atau RGT Pengerang untuk mengisi bahan api kapal lain. 

"Petronas Dagangan juga akan bertindak sebagai ejen pemasaran menawarkan LNG sebagai pilihan baharu kepada pelanggan  bersama-sama produk bahan api sedia adanya," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perkapalan Mesra Alam 2019 di sini, hari ini.

Persidangan itu memfokuskan kepada aktiviti pengangkutan marin mesra alam sejajar pelaksanaan undang-undang IMO2020 yang mengehadkan kandungan sulfur dalam bahan api marin kepada 0.5 peratus menjelang 1 Januari 2020, berbanding kini 3.5 peratus.

Pelaksanaan IMO2020 oleh Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) itu bakal memangkin peralihan penggunaan bahan api kapal kepada LNG sebagai pilihan bahan api yang lebih bersih, tanpa sulfur dan mesra alam, berbanding bahan api tradisional.

Menerusinya, penguasaan pasaran LNG sebagai bahan api kapal dijangka melonjak kepada tujuh peratus menjelang 2030 berbanding kurang tiga peratus kini.

Mengulas lanjut, Ahmad Adly, berkata sebagai persediaan awal operasi itu, RGT Pengerang akan dilengkapi dengan stesen pengisian LNG untuk trak dan kontena ISO sebagai sokongan pembekalan bahan api kapal di kawasan terpencil.

Bahkan, katanya, PETRONAS juga sedang menaik taraf RGT Sungai Udang supaya dapat menjalankan operasi pengisian semula bahan api LNG untuk pembekalan kapal menjelang suku pertama 2020.

"Ia bakal menjadi hub kedua pengisian bahan api LNG PETRONAS," katanya.

Berita Harian X