Selasa, 10 September 2019 | 6:03pm
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (dua kiri) beramah mesra bersama pemenang utama Mohd Rashdan Daud (tiga kiri) selepas majlis Pwnyampaian Hadiah Pertandingan Rekaan Perumahan 4.0 anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd (GAMUDA IBS) di ibunegara. - Foto Rosdan Wahid

Pertimbang insentif Bandar Pintar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian insentif untuk bandar di Malaysia dalam usaha menambah jumlah kawasan yang mencapai status 'Bandar Pintar' di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin, berkata cadangan itu kini di peringkat kajian dan ia perlu merangkumi semua aspek.

"Tiada jangka masa khusus (bagi penetapan status Bandar Pintar) tetapi ia perlu dilihat dari segi kemampuan setiap bandar kerana berbeza mengikut tahap tertentu.

"Bandar Pintar bukan hanya dilihat dari aspek penggunaan teknologi tetapi turut merangkumi penyerapan semangat demokrasi dalam tindakan dan masyarakat untuk membina bandar mereka sendiri.

"Perlu ada nilai inklusif termasuk tadbir urus yang lebih baik bagi mengelakkan berlaku pembaziran. Contohnya, pelaksanaan menerusi sistem tender lebih terbuka dan kompetitif supaya wang yang dibelanjakan memberi manfaat kepada rakyat," katanya selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Rekaan Perumahan 4.0 anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd (Gamuda IBS), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PAM, Abu Zarim Abu Bakar dan Pengurus Besar Gamuda IBS, Tan Ek Khai.Raja Kamarul Bahrin berkata, pembinaan Bandar Pintar adalah membabitkan satu sistem yang komprehensif.

"Bandar Pintar bukan hanya mengambil kira kemajuan dari segi kebendaan tetapi juga mengguna pakai konsep demokrasi untuk berkembang dengan lebih baik.

"Contohnya, ia perlu mengambil kira keperluan dan manfaat penduduk terutama dalam menangani masalah yang dihadapi generasi muda.

"Oleh itu, wujud kepentingan untuk mengadakan konsep 'Rent-to-Own' dan 'rumah transit' yang mana mengambil kira keperluan generasi muda," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat lima bandaraya berstatus bandar pintar iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kulim, Kota Kinabalu dan Kuching.

Terdahulu, mengulas mengenai masa depan arkitek tempatan, beliau berkata, kerajaan dan pihak berkaitan perlu lebih terbuka dan proaktif dalam menerima cadangan dan idea baharu daripada golongan arkitek di Malaysia.

"Industri perumahan boleh menjadi lebih berkembang dengan menyediakan platform untuk arkitek tempatan berkongsi idea dan inovasi mereka," katanya.

Tempat pertama pertandingan itu dimenangi Mohd Rashdan Daud dari GDP Architects Sdn Bhd yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM80,000, diikuti tempat kedua, Leong Yew Kooi dari GSD Architect (RM40,000) dan ketiga, Muhammad Qhawarizmi Norhisham dari Qhawarizmi Architect dengan wang tunai berjumlah RM30,000.

134 dibaca
Berita Harian X