Selasa, 10 September 2019 | 9:48am

Bank Rakyat rancang perkenal cawangan berkonsep digital

SHAH ALAM: Bank Rakyat akan menaik taraf beberapa cawangannya kepada berkonsepkan digital, namun langkah itu tidak akan menjejaskan kakitangan sedia ada.

Dalam masa sama, Bank Rakyat tidak bercadang untuk menutup sebahagian 147 cawangan di seluruh negara berikutan peralihan kepada teknologi perbankan digital yang dilihat menjadi pilihan pelanggan institusi perbankan di negara ini.

Pemangku Pengarah Urusannya, Datuk Rosman Mohamed, berkata peralihan perniagaan Bank Rakyat ke arah perniagaan digital yang akan dilaksanakan itu selaras dengan pelan lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang menjadi garis panduan kepada perbankan itu mengekalkan pertumbuhannya.

“Saya ingin menegaskan di sini, kami akan mengubah beberapa cawangan kepada berkonsepkan digital tetapi tidak bermakna pekerja sedia ada diberhentikan.

“Sebaliknya, kami akan menggunakan sumber yang ada untuk tujuan lain termasuk meningkatkan kemahiran dan bakat mereka,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada program Nuri Teenpreneurship anjuran Bank Rakyat sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 di sini.

Rosman berkata, perbankan digital menjadi pilihan pelanggan masa ini yang menuntut Bank Rakyat juga beralih kepada teknologi baharu bagi memacu pertumbuhan perniagaannya pada masa akan datang.

“Hari ini, semua beralih kepada perniagaan digital. Dengan adanya teknologi semasa, menyaksikan pelanggan melaksanakan urusan menerusi platform maya. Ini perubahan gaya hidup yang menuntut institusi perbankan juga menawarkan perkhidmatan lebih lancar dan mudah diakses di mana-mana saja.

“Bank Rakyat perlu bersedia untuk perkara ini selaras dengan BR25,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Bank Rakyat akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi membangunkan ‘jiwa’ keusahawanan dalam rakyat Malaysia, selaras dengan pertumbuhan perniagaan institusi perbankan itu.

Katanya, bagi merealisasikan peranan itu, Bank Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada koperasi, peniaga kecil, pembiayaan peribadi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengembangkan elemen keusahawan.

“Kami akan meneruskan peranan untuk membantu pelbagai peringkat perniagaan dan usahawan menerusi pembiayaan dan nasihat perniagaan untuk memastikan bisnes yang dilaksanakan berjaya.

“Kami memiliki peruntukan tertentu kepada pelanggan kami. Kami mahu pembiayaan berkualiti dan garis panduan yang betul untuk diikuti,” katanya.

Bank Rakyat ketika ini memiliki aset bernilai RM107 bilion dan jumlah pembiayaan mencecah RM66 bilion.

Sementara itu, seramai 24,657 pelajar daripada 132 sekolah di seluruh negara turut serta berniaga pada program Nuri Teenpreneurship.

Menerusi program itu, Bank Rakyat juga tersenarai dalam Malaysia Book of Records untuk penyertaan terbesar sekolah di Malaysia dalam inisiatif keusahawanan.

Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan makanan bernutrisi dengan pemberian kad Nuri Nutrisi kepada 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari 2, Shah Alam bagi membantu murid kurang berkemampuan mendapatkan makanan berkhasiat pada waktu persekolahan.

218 dibaca
Berita Harian X