Jumaat, 30 Ogos 2019 | 6:34pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury pada majlis memeterai kontrak pembelian pesawat tambahan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

AirAsia X tempah 30 A321XLR, tambah 12 A330neo

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd memuktamadkan tempahan tambahan 12 pesawat A330neo dan 30 pesawat A321XLR dengan Airbus bernilai kira-kira lebih AS$5 bilion (RM21 bilion).

Kontrak pembelian itu dimeterai Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury dengan disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata tempahan itu mengesahkan kesesuaian pesawat A330neo sebagai pilihan terbaik untuk memantapkan rangkaian pesawat badan besar pada masa depan.

Beliau berkata, pesawat A321XLR pula menawarkan kemampuan jarak penerbangan paling jauh bagi mana-mana pesawat lorong tunggal yang akan membolehkannya memperkenalkan perkhidmatan ke destinasi baharu.

"Kedua-dua pesawat ini adalah gandingan terbaik bagi operasi penerbangan jarak jauh kos rendah yang akan memberi kelebihan kepada kami untuk memperkukuhkan lagi kedudukan selaku peneraju pasaran dalam sektor yang pesat berkembang ini.

"Dengan pesawat baharu ini menawarkan kami potensi destinasi baharu seperti Eropah Timur, Perancis seperti Nice," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai kontrak pembelian pesawat tambahan itu di sini, hari ini.

Kontrak baharu itu menyaksikan peningkatan bilangan pesawat A330neo yang ditempah oleh AirAsia X kepada 78 pesawat, sekali gus memperkukuhkan status syarikat penerbangan itu sebagai pelanggan tunggal terbesar bagi pesawat jenis itu.

Tempahan bagi pesawat A321XLR menyaksikan langkah Kumpulan AirAsia untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pelanggan terbesar di dunia bagi pembelian pesawat dari Rangkaian A320, dengan tempahan terkini berjumlah 622 pesawat.

Buat masa ini, AirAsia X mengendalikan sejumlah 36 pesawat rangkaian A330-300s yang digunakan di rantau Asia Pasifik dan Asia Barat.

Penghantaran pertama pesawat A330neo kepada AirAsia X dijangka pada pertengahan tahun depan, sementara pesawat A321XLR menjelang 2023.

Pesawat A330neo adalah pesawat generasi terkini sebenar yang dibina berteraskan kepada kejayaan pesawat A330 dan memanfaatkan teknologi pesawat A350 XWB.

Pesawat A321XLR adalah langkah evolusi seterusnya bagi A321LR yang memenuhi kehendak pasaran untuk pesawat yang boleh terbang jauh dengan membawa muatan lebih berat, lantas menjana nilai pendapatan yang lebih tinggi untuk syarikat penerbangan.

273 dibaca
Berita Harian X